

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, seorang daripada tiga pemimpin di kerusi itu mungkin mengisi kekosongan jawatan timbalan presiden jika Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil alih pimpinan daripada Hadi.
“Kali ini Hadi dan Tuan Ibrahim kekal, jadi paling penting pertandingan naib presiden kerana mereka dianggap pemimpin masa depan.
“Salah seorang daripada mereka akan diberi laluan sebagai timbalan…saya jangka ini (2025-2027) penggal terakhir Hadi sebagai presiden PAS atas faktor usia dan kesihatan,” katanya kepada FMT.
Hadi dan Tuan Ibrahim sekali lagi menang tanpa bertanding bagi dua jawatan tertinggi itu apabila tiada pemimpin lain dicalonkan oleh bahagian PAS yang bersidang sebelum ini.
Tiga penyandang naib presiden Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli Parlimen Bagan Serai Idris Ahmad dan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah mendapat pencalonan mencukupi bagi bertanding jawatan itu.
Turut dicalonkan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang pada pemilihan dua tahun lalu menolak bertanding jawatan naib presiden.
Menurut pemerhati politik, jika Sanusi setuju ‘turun gelanggang’ beliau dijangka memberi saingan kepada Samsuri bagi merebut satu kerusi yang ‘secara tradisi’ dikhususkan untuk kumpulan profesional atau aktivis.
Dua lagi kerusi kepada kumpulan pro ulama, percaturan yang lazimnya pada pemilihan PAS.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, turut senada pemilihan naib presiden menjadi perhatian kerana membabitkan corak kepimpinan masa depan parti pembangkang utama negara ketika ini.
“Ini akan memberi bayangan siapa timbalan presiden selepas Tuan Ibrahim.
“Pemilihan kali ini bukan sekadar pertandingan rutin tetapi medan ujian mengenal pasti tokoh bakal mengisi barisan pelapis tertinggi PAS dalam jangka sederhana,” katanya.