Pentadbir sekolah dipanggil untuk faham undang-undang buli

Pentadbir sekolah dipanggil untuk faham undang-undang buli

Azalina Othman Said berkata semua pengetua, guru besar, dan kaunselor dipanggil hadir sesi khas mula minggu depan.

9_STUDENT_FORM5_TEACHER_FMT_2010202
Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata pentadbir sekolah perlu peka undang-undang menjaga kanak-kanak.
PUTRAJAYA:
Sesi penerangan khas akan diadakan di seluruh pejabat pendidikan negeri mulai minggu depan bagi membolehkan pentadbir sekolah lebih memahami undang-undang buli, kata Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung inisiatif bertujuan melindungi kanak-kanak di sekolah.

Menurutnya, semua pengetua, guru besar, dan guru kaunseling akan dipanggil menghadiri sesi berkenaan yang akan dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri.

“Seperti undang-undang buli dan jenayah seksual, pentadbir sekolah yang berdepan dengan kanak-kanak antara enam hingga lapan jam sehari perlu memahami undang-undang itu supaya lebih peka.

“Apa gunanya undang-undang hebat, tetapi rakyat tidak tahu kewujudannya untuk melindungi mereka,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi).

Langkah memperkukuh pencegahan buli di sekolah timbul susulan insiden menimpa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama, sebelum meninggal dunia di hospital keesokannya.

Pada 20 Ogos, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zara Qairina yang boleh menyebabkan mangsa tertekan. Mereka didakwa berbuat demikian antara 10 hingga 11 malam pada 15 Julai lalu di SMK Agama Tun Datu Mustapha, Papar.

Berhubung penggubalan akta antibuli melalui sistem tribunal, Azalina berkata pihaknya akan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC).

Katanya, ia perlu kerana kesalahan buli membabitkan individu bawah 18 tahun juga dibaca bersama Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam perkembangan lain, Azalina menyambut baik pertimbangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menubuhkan kementerian undang-undang bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.

“Saya ucap terima kasih. Beliau kata hendak menilainya…jadi biarlah perdana menteri buat keputusannya,” katanya.

Minggu lalu, Anwar pada Forum Undang-undang Asean 2025 memaklumkan kerajaan sedang mempertimbang penubuhan kementerian tersebut bagi memperkukuh peranan Malaysia serta memperkasakan kedaulatan undang-undang di peringkat serantau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.