Pangkalan data biometrik MyKad baharu guna cap 10 jari

Pangkalan data biometrik MyKad baharu guna cap 10 jari

Rakyat Malaysia juga akan menjalani imbasan wajah dan iris mata untuk pengesahan identiti lebih baik serta kurangkan risiko kecurian identiti.

payment using ic pembayaran menggunakan kad pengenalan
Cadangan pangkalan data biometrik baharu itu akan membantu polis dan Jabatan Imigresen menjejaki suspek jenayah di dalam dan luar negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cap jari semua 10 jari rakyat Malaysia akan diambil di bawah pangkalan data biometrik MyKad yang baharu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah.

Shamsul berkata rakyat Malaysia juga akan menjalani imbasan wajah dan iris mata bagi memastikan pengesahan identiti yang lebih baik serta mengurangkan risiko kecurian identiti.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa pangkalan data biometrik itu akan membantu polis dan Jabatan Imigresen menjejaki suspek jenayah di dalam dan luar negara.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025, Shamsul berkata pindaan itu perlu bagi membolehkan kerajaan mengemas kini pangkalan data biometrik untuk meningkatkan keselamatan.

Katanya, kerajaan tidak mewajibkan rakyat mendaftar untuk kad pengenalan digital yang dikenali sebagai MyDigital ID, namun pindaan undang-undang itu memberi asas perundangan kepada Putrajaya untuk menggunakan data MyKad dalam bentuk digital.

“ID digital ini tidak akan menggantikan MyKad fizikal. Saya harap semua memahami perkara ini,” katanya.

Shamsul berkata seramai 795 individu ditahan atas kesalahan berkaitan dokumen pengenalan diri sejak 2021, dengan 326 daripada mereka didakwa atas penggunaan MyKad palsu.

Beliau mempertahankan langkah membenarkan sesetengah kesalahan diselesaikan dengan kompaun, seperti kegagalan mengemas kini MyKad atau alamat, kerana ia menghapuskan keperluan untuk ke mahkamah.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan undi suara.

Terdahulu, Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) berkata peralihan kepada MyDigital ID mesti disertakan dengan langkah perlindungan untuk mengelakkan manipulasi data.

Beliau menggesa klausa anti-manipulasi dimasukkan dan audit bebas terhadap sistem, dengan juruaudit melapor terus kepada Parlimen.

Katanya, langkah itu penting untuk mengelakkan penyalahgunaan seperti yang pernah berlaku di Sabah, di mana pemberian kewarganegaraan dimanipulasi untuk kepentingan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.