
Merangkumi bidang penyelidikan, pemeliharaan, dan pendigitalan dokumen sejarah, kementerian berkata kerjasama dua hala ini mencerminkan komitmen memelihara ‘bukti penting’ kepada tamadun, peradaban dan hubungan diplomatik masa silam.
“Malaysia percaya bahawa akses kepada maklumat sejarah yang sahih akan memperkukuh jati diri rakyat serta memupuk pemahaman merentas budaya dan sempadan,” menurut kenyataan dari Istanbul, Turki.
Menteri Aaron Ago Dagang menandatangani MoU tersebut bagi pihak Malaysia, manakala pihak Turki diwakili Pengarah Muhammet Ahmet Tokdemir.
Antara intipati MoU itu termasuk menjalankan penyelidikan bersama dan pertukaran salinan semula dokumen arkib, buku, panduan, inventori dan bahan penyelidikan yang diterbitkan.
Turut disentuh pertukaran kepakaran dalam bidang teknologi moden, pendigitalan, dan aktiviti restorasi arkib; dan penganjuran bersama mesyuarat ilmiah dan pameran dalam bidang kearkiban serta sumbangan bahan pameran berbentuk salinan dokumen arkib.
“Kementerian percaya kerjasama ini akan menjadi asas kukuh dalam memperkaya koleksi arkib negara, memperluaskan jaringan kepakaran serta mendukung usaha pemeliharaan warisan sejarah serantau dan global,” katanya.
Sementara itu, delegasi Malaysia meninjau fasiliti penyimpanan dan makmal arkib Turki yang menempatkan dokumen bersejarah dari era Empayar Uthmaniyah.
Ia merangkumi lebih 700km rak penyimpanan dengan 70% telah didigitalkan. Kementerian berkata pencapaian ini menjadi penanda aras dan rujukan bagi pelaksanaan inisiatif pendigitalan Arkib Negara.