Kakitangan sekolah beri keterangan kes pelajar jatuh asrama di Sabak Bernam

Kakitangan sekolah beri keterangan kes pelajar jatuh asrama di Sabak Bernam

Seorang pelajar Tingkatan Tiga dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam semalam.

Shazeli Kahar
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata siasatan masih diteruskan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kakitangan sekolah antara beberapa individu sudah memberi keterangan berhubung kes seorang pelajar Tingkatan Tiga terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam semalam, kata Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar.

“Siasatan masih berterusan, rakaman percakapan individu juga telah diambil bagi membantu siasatan polis, (termasuk) dari pihak sekolah juga telah diambil,” katanya menurut Astro Awani.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam semalam.

Ahli keluarga mangsa dilaporkan berkata, pelajar itu mengalami pendarahan di kiri dan kanan otak, selain rahang patah dan kecederaan pada paru-paru berdasarkan hasil imbasan CT.

Semalam, Shazeli dilaporkan berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 selepas menerima satu laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, siasatan daripada pelbagai sudut, termasuk keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakannya.

Tegasnya, sebarang spekulasi mengenai punca kejadian, termasuk dakwaan mangsa dibuli masih terlalu awal disahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.