
Beliau berkata Umno sentiasa mengamalkan sistem berteraskan disiplin, perbincangan dan demokrasi dalam menangani sebarang perbezaan pendapat.
“Dalam Umno ada pelbagai karektor, saya tak ada masalah kalau siapa puas hati, tak puas hati, dia boleh bawa dalam mesyuarat atau rujuk kepada lembaga disiplin.
“Umno sebuah parti terbuka dan demokrasi,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi) serta majlis kibaran Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan.
“Antara siapa tak setuju dalam kalangan pemimpin, itu memang biasa dalam politik.”
Azalina yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi) berkata isu antara dua pemimpin itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat MKT baru-baru ini.
“Mesyuarat terakhir fokus kepada isu lebih penting iaitu mesyuarat bahagian dan persiapan pilihan raya Sabah. Isu ini langsung tidak timbul,” katanya.
Dalam isu terbaru, Akmal beri amaran akan menyaman Lokman kerana menuduhnya mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein sebagai perdana menteri.
Dalam video tular berdurasi lebih seminit menerusi wawancara bersama platform NRChannel TV, Lokman secara terbuka menggelar Akmal sebagai ‘Ketua Pemuda H2O’.
H2O adalah gelaran kepada Hishammuddin, bekas naib presiden Umno yang kini digantung keahlian.
Lokman juga mendakwa, selain menjadi ‘orang H2O’, Akmal dikatakan menjadi ejen pemecah hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Susulan itu, Pemuda Umno Kapar menghantar surat kepada lembaga disiplin bagi mendesak tindakan diambil terhadap Lokman atas dakwaan melanggar disiplin dan etika parti.
Aduan itu turut mendakwa kenyataan Lokman mencetuskan polemik dalaman yang merugikan parti, khususnya ketika Umno sedang bersiap menghadapi PRU16.
Ketua Pemuda Umno Kapar, Mohd Affifi Mohd Aris, berkata tuduhan berat itu bukan sahaja fitnah, malah berniat memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan kepimpinan Umno.