
Jay Jay Denis berkata, sebagai ketua PH Selangor, Amirudin sentiasa berhubung dengan rakan sejawatnya dalam BN, Megat Zulkarnain Omardin, dan exco BN negeri, Rizam Ismail.
“Amirudin juga kerap bertemu dengan pemimpin tempatan daripada semua parti dalam kerajaan perpaduan Selangor ketika melawat sembilan daerah di negeri ini,” katanya kepada FMT.
Jay Jay menjelaskan, kerajaan perpaduan di Selangor terdiri daripada wakil kedua-dua gabungan itu, walaupun 90% Adun daripada PH.
Pada Ahad, Ketua MIC Selangor Shanker Raj Ayengar mendakwa Amirudin hanya mengadakan ‘dialog terhad’ dengan pemimpin negeri selepas satu pertemuan awal.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungan dengan kerajaan negeri pimpinan PH.
Pada Mei, Ketua Penerangan PH Selangor Abbas Azmi menyifatkan hubungan gabungan itu dengan BN Selangor sebagai ‘stabil’.
Menurutnya, hubungan mesra antara PH dan BN adalah hasil kejayaan menguruskan perbezaan pandangan dan fokus kepada keutamaan bersama.
“Jika ada sebarang rasa tidak puas hati, ia diselesaikan di meja rundingan, bukannya buat kenyataan umum yang boleh cetuskan kontroversi,” katanya.