Ahli Parlimen ‘khianat’ jika tolak RUU Pekerja Gig, kata persatuan

Ahli Parlimen ‘khianat’ jika tolak RUU Pekerja Gig, kata persatuan

Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat kata RUU itu penting bagi melindungi pekerja gig, termasuk bayaran upah setimpal.

steven sim
Menteri Sumber Manusia Steven Sim (baju putih) menerima memorandum yang diserahkan Presiden TPAD M Nathan di perkarangan bangunan Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) berkata Ahli Parlimen yang menolak Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig ialah pengkhianat.

Presiden M Nathan berkata RUU itu penting bagi memberi perlindungan lebih baik kepada pekerja gig yang selama ini tidak diberikan perlindungan sewajarnya, termasuk bayaran upah setimpal.

“Saya harap Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat berjiwa rakyat tidak menolak RUU ini. Harap semua sokong untuk memberi kebebasan, perlindungan kepada pekerja gig.

“Sekarang tak ada akta nak lindungi kami, upah diberi tidak tetap, beri tugasan tidak setimpal, semua ini tak masuk akal.

“Kalau katakan ada yang menolak atau melengahkan RUU ini, kita boleh katakan mereka pengkhianat kepada semua pekerja gig,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, di perkarangan Parlimen.

Hampir 100 orang berkumpul bagi mendesak 222 wakil rakyat menyokong RUU Pekerja Gig.

Memorandum mengandungi lima tuntutan, iaitu penetapan harga lantai oleh Kementerian Pengangkutan bagi industri e-panggilan dan p-panggilan, melaksanakan 21 tuntutan TPAD terdahulu, agihan tugasan secara adil kepada pemandu, kaji semula program Pembayaran Servis Grab dan meluluskan RUU Pekerja Gig.

Sementara itu, Sim berkata, RUU Pekerja Gig akan memanfaatkan lebih 1.2 juta pekerja dalam bidang itu selepas diluluskan.

“Kalau Parlimen luluskan, siapa jadi kerajaan sekalipun kena ikut undang-undang, tak kira platform, majikan, semua kena ikut undang-undang, termasuk pekerja gig kena ikut undang-undang,” katanya sambil memaklumkan ada pihak cuba menolak RUU itu.

RUU Pekerja Gig yang bertujuan memberi perlindungan dan mengiktiraf peranan pekerja sektor itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Isnin lalu. Bacaan kali kedua dan ketiga dijadualkan esok.

Antara aspek utama termasuk pengenalan definisi rasmi pekerja gig, penetapan pampasan minimum, penciptaan mekanisme aduan dan perlindungan keselamatan sosial seperti sumbangan mandatori kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.