
Pejabat Sekretariat SG4 dalam kenyataan berkata RUU itu jika diluluskan akan memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.
Menurutnya, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang sedia ada dengan jelas memperuntukkan urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif negeri yang dilaksanakan melalui pihak berkuasa perancang negeri dan pihak berkuasa perancang tempatan.
“Akta 172 juga mengambil kira keperluan kawalan dan perancangan guna tanah serta pembangunan perbandaran yang sesuai selaras dengan dasar kerajaan sesebuah negeri serta keperluan, sikap dan budaya penduduk setempat.
“Pendekatan ini adalah lebih holistik dengan mengambil kira cita rasa pembangunan negeri berasaskan pertimbangan dasar dan diharmonikan dengan sifat budaya penduduknya,” katanya.
Kenyataan itu ditandatangani Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen termasuk dari blok kerajaan mendesak supaya bacaan kedua dan ketiga RUU PSB di Dewan Rakyat, esok ditangguhkan sehingga semua isu dan kebimbangan berkaitannya ditangani secara menyeluruh.
Semalam, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad juga menggesa kerajaan supaya tidak tergesa-gesa membentangkan RUU itu dan memperhalusi perkara tersebut dengan bijaksana dan inklusif.
Cadangan undang-undang itu dipacu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menggantikan peraturan serta undang-undang lama yang mengawal pembangunan semula kawasan bandar daif.