
Menurut Petronas, pencapaian itu direkodkan pada 9 Jun lepas selepas Petronas Carigali mula mengambil alih tanggungjawab sebagai pengendali Kontrak Perkongsian Pengeluaran Gas (GPSC) berkuat kuasa 1 April.
Katanya, perkara Ini sekali gus membuktikan komitmen untuk memastikan bekalan gas yang terjamin dan mampan bagi Semenanjung Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Carigali Hazli Sham Kassim berkata, pencapaian tersebut menunjukkan kesiapsiagaan operasi syarikat itu sebagai pengendali GPSC, sekali gus membuktikan kepakaran teknikal, mempercepat penjanaan pendapatan daripada gas domestik dan paling penting, dapat memastikan nilai maksimum daripada sumber Malaysia untuk negara.
“Operasi GPSC membekalkan hampir separuh daripada permintaan gas Semenanjung, menjana tenaga untuk loji jana kuasa berskala industri serta pengilang berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui infrastruktur sedia ada kami,” katanya dalam kenyataan Hari ini.
Pembangunan medan Bindu merangkumi sebuah pelantar kepala telaga baharu yang dihubungkan kepada hab pengeluaran Guntong E melalui saluran paip sepanjang 62km.
Bahagian atas dan substrukturnya ialah hasil fabrikasi tempatan, direka untuk kawalan tanpa manusia dan dijana oleh sistem tenaga solar.
Ia menunjukkan komitmen pembangunan lapangan baharu terakhir mengikut terma GPSC semasa, dan medan itu dijangka mencapai pengeluaran kemuncak sebanyak 75 juta kaki padu standard gas sehari dari dua telaga.
Petronas Carigali mengendalikan medan tersebut dengan kepentingan penyertaan sebanyak 50% dalam GPSC, manakala rakan usaha sama ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc memegang baki kepentingan itu.
“Petronas Carigali kekal kukuh dalam sektor huluan Malaysia, memacu operasi yang berdaya maju secara komersial melalui pelaburan strategik di samping mengekalkan standard keselamatan, kecekapan dan kemampanan yang tinggi bagi semua aset,” jelas Petronas.