NGO alam sekitar bimbang caj beg plastik ‘tidak memadai’

NGO alam sekitar bimbang caj beg plastik ‘tidak memadai’

Peka kata caj 20 sen gagal ubah tingkah laku, menyarankan larangan penuh serta insentif kepada industri untuk menghasilkan alternatif mesra alam.

plastik bag
Peka kata langkah yang tidak berkesan untuk menggunakan pengguna guna beg plastik sekali guna berisiko beri imej tidak baik pada komitmen kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pertubuhan alam sekitar bimbang pengenaan kadar caj baharu ke atas beg plastik tidak memadai, memandangkan 20 sen yang dikenakan sejak beberapa tahun lalu pun gagal mengubah tingkah laku pengguna.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata langkah yang tidak berkesan untuk menghentikan pengguna menggunakan beg plastik sekali guna berisiko memberikan imej tidak baik pada komitmen kerajaan dalam isu alam sekitar.

“Untuk capai sifar plastik 2030, caj sahaja tidak memadai. Bahkan, jika kerajaan mahu juga menaikkan caj, ia perlu dinaikkan ke tahap yang lebih tinggi, contohnya RM1 untuk setiap beg plastik, bukannya RM0.30 sen atau RM0.50 sen yang masih dianggap murah,” kata Presiden Rajesh Nagarajan kepada FMT.

Peka percaya langkah lebih praktikal adalah larangan menyeluruh secara berperingkat ke atas beg plastik sekali guna, bermula dengan pasar raya besar; insentif kepada industri untuk menghasilkan alternatif mesra alam seperti beg kertas, bioplastik, atau sistem beg guna semula; dan penguatkuasaan tegas.

Menurut Rajesh, negeri yang mahu merealisaikasikan matlamat sifar beg plastik tidak harus bergantung pada kenaikan caj.

“Kalau semua negeri hanya meniru langkah caj minimum ini, Malaysia tidak akan mencapai sasaran sifar plastik 2030; sebaliknya ia akan jadi satu lagi kempen alam sekitar yang gah di atas kertas tapi gagal di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, Peka menyeru kerajaan supaya membentangkan laporan telus hasil kutipan caj yang dikembalikan kepada program pemulihan alam sekitar. “Ia harus membentangkan laporan telus bagaimana wang itu digunakan, bukan sekadar mengumumkan jumlah kutipan.”

Peka turut menyarankan suatu ‘dana hijau’ diwujudkan, dengan laporan awam tahunan, supaya hasil kutipan benar-benar digunakan untuk pendidikan, penguatkuasaan dan teknologi kitar semula.

“Caj kecil hanya membuat pengguna berasa mereka ‘membeli hak’ untuk terus menggunakan plastik, bukannya mendidik mereka untuk berhenti,” katanya.

Selangor akan memperkenalkan kadar caj baharu bagi beg plastik sekali guna dalam usaha menggalakkan penggunaan beg guna semula dengan lebih meluas.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata, kerajaan negeri juga bercadang melaksanakan hari tanpa beg plastik sekali guna dari Jumaat hingga Ahad di semua premis.

Katanya, kerajaan negeri kini berada dalam fasa akhir semakan semula undang-undang berkaitan penguatkuasaan, termasuk merangka pewartaan garis panduan baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.