MoF anggar kesan SST ke atas isi rumah rendah, terkawal

MoF anggar kesan SST ke atas isi rumah rendah, terkawal

Ia disebabkan pelbagai kemudahan dan pengecualian diperkenalkan sebagai langkah mitigasi, kata Timbalan Menteri Lim Hui Ying.

supermarket pasaraya
Kesan keseluruhan pelaksanaan SST ke atas isi rumah dianggarkan rendah dan terkawal.
PETALING JAYA:
Kesan keseluruhan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas isi rumah dianggarkan rendah dan terkawal, menurut unjuran awal Kementerian Kewangan.

Ia disebabkan pelbagai kemudahan dan pengecualian diperkenalkan sebagai langkah mitigasi, bagi memastikan beban cukai diagihkan secara adil dan ditanggung oleh pihak yang mempunyai keupayaan, Timbalan Menteri Lim Hui Ying beritahu Dewan Negara.

“Masih terlalu awal untuk melihat impak keseluruhan pelaksanaan SST kepada rakyat, memandangkan pelaksanaan peluasan skop SST bermula pada 1 Julai 2025,” katanya lapor Bernama, menjawab Senator Ros Suryati Alang tentang kesan pelaksanaan SST pada 1 Julai 2025 kepada rakyat.

Ditanya jika strategi SST membantu kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan, Lim memaklumkan kerajaan menjangka akan berupaya menjana hasil tambahan sebanyak RM5 bilion pada tahun ini.

“Tambahan hasil ini, bersama pendekatan perbelanjaan yang optimum dan berhemah, memperkukuh kedudukan kewangan negara justeru membolehkan kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan tanpa perlu menambah pinjaman atau hutang tinggi,” katanya.

Katanya lagi, peningkatan hasil cukai juga membolehkan kerajaan terus menyediakan subsidi bahan asas menerusi peruntukan subsidi kepenggunaan kepada sebahagian besar rakyat, antaranya melalui program Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah dan Sumbangan Tunai Rahmah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.