
Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu pelatih berkenaan, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Hakim memerintahkan ketua polis negara selaku responden pertama atau pegawainya menyelia proses penggalian semula jenazah Syamsul di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Shah Alam.
Beliau turut mengarahkan pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur menjalankan bedah siasat di depan pakar patologi forensik kanan, Dr Bhupinder Singh dan peguam dilantik keluarga atau wakil dari Tetuan Naran Singh & Co dalam tempoh 14 hari selepas penggalian.
Laporan bedah siasat perlu dikemukakan dalam tempoh munasabah dan salinan laporan diberikan kepada peguam keluarga.
Ummu memfailkan permohonan itu pada 14 Ogos lalu dengan menamakan Ketua Polis Negara, Khalid Ismail dan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Wanita itu mendakwa bedah siasat awal tidak dilakukan pakar forensik hospital, sebaliknya oleh pegawai perubatan gred UD10, dengan dirinya dan keluarga tidak dibenarkan melihat keseluruhan jenazah anaknya.
Syamsul, 22, anak sulung daripada tiga beradik, meninggal dunia 28 Julai lalu dalam keadaan tidak jelas ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat di Ulu Tiram, Johor.
Beliau dikatakan mengalami sawan sebelum meninggal dunia.
Ummu bagaimanapun mendakwa jenazah anaknya mempunyai lebam dan kecederaan konsisten dengan serangan fizikal, bukannya sawan.
Pada 13 Ogos lalu, Menteri Pertahanan, Khaled Nordin dilaporkan berkata, pihak berkuasa tidak menemui sebarang tanda Syamsul didera secara fizikal.
Katanya, hasil bedah siasat awal mendapati tiada kecederaan akibat penderaan fizikal pada jenazah Syamsul, walaupun laporan lengkap bedah siasat hanya akan dikeluarkan dalam dua bulan.