Lada, MAG lancar kempen promosi percutian ke Langkawi

Lada, MAG lancar kempen promosi percutian ke Langkawi

Kempen Langkawi Special Deals tawar pakej menarik dan rebat penerbangan, hotel, kawasan tarikan, membeli-belah.

Iskandar Kaus, Philip See n Lim Hui Ying
CEO Lada Iskandar Kaus (kanan), CEO Kesetiaan dan Perkhidmatan Perjalanan MAG, Philip See ketika majlis menandatangani MoU di Park Hyatt Kuala Lumpur semalam. (Gambar Lada)
PETALING JAYA:
Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia Aviation Group (MAG) bagi merancakkan pelancongan domestik ke Langkawi ketika di luar musim percutian di pulau itu.

Kempen Langkawi Special Deals, berlangsung dari Oktober hingga Disember tahun ini, menawarkan pakej menarik dan rebat untuk penerbangan, hotel, kawasan tarikan, membeli-belah, kedai bebas cukai serta perkhidmatan pelancongan lain.

Pengunjung juga boleh menikmati diskaun eksklusif sehingga 70% bagi produk dan perkhidmatan terpilih daripada rakan kerjasama yang menyertai kempen ini, kata Lada dalam satu kenyataan.

Menerusi MHholidays, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines, pengunjung boleh menikmati promosi penerbangan dan hotel dengan penjimatan sehingga RM400. Platform gaya hidup MAG, Journify, turut menawarkan rebat tambahan sebanyak RM30 bagi pakej lawatan dan tarikan di Langkawi.

MoU itu turut bertujuan memperkukuh kerjasama antara pemain industri pelancongan tempatan dengan menyatukan usaha di bawah platform promosi tunggal, sekali gus menampilkan Langkawi sebagai destinasi bernilai tinggi dan menarik.

MoU tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Iskandar Kaus dan Ketua Pegawai Eksekutif Kesetiaan dan Perkhidmatan Perjalanan MAG, Philip See, serta disaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying di Park Hyatt Kuala Lumpur.

Lim berkata inisiatif itu selaras dengan persiapan negara menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, sambil menegaskan promosi strategik, kerjasama inovatif dan penglibatan komuniti penting bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan.

Iskandar pula berkata kempen itu akan menyatukan pemain industri pelancongan Langkawi di bawah satu jenama dan menarik lebih ramai pengunjung ke pulau tersebut.

“Kami berhasrat menjadikan ia acara tahunan untuk Langkawi,” katanya.

Sementara itu, See berkata MAG berbangga dapat bekerjasama dengan Lada dalam mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai salah satu destinasi ikonik Malaysia.

Lada berkata lebih banyak rakan kempen akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.