
Menerusi jawapan bertulis di laman Parlimen semalam, MoF berkata, semakan semula kadar cukai jualan dan peluasan cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa 1 Julai lalu dijangka mampu menjana pertambahan hasil RM10 bilion setahun bermula 2026.
“Langkah semakan semula kadar SST dilaksanakan antara lainnya bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara, di samping mempromosi dan menyokong industri buah tempatan.
“Namun begitu, kerajaan mengambil kira maklum balas rakyat dan menyemak semula kadar untuk mengecualikan buah import terpilih seperti epal, oren, kurma dan limau mandarin untuk memastikan akses terjamin kepada makanan berkhasiat dan lazim dimakan, terutamanya golongan rentan.”
MoF menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung jangkaan kutipan hasil daripada peluasan SST yang mula dikuatkuasakan 1 Julai lalu, khususnya kutipan untuk buah-buahan import.
MoF berkata, peluasan SST dilakukan secara bersasar dan memastikan kemudahan serta pengecualian tertentu diberikan sebagai langkah mitigasi bagi memastikan beban cukai diagihkan secara adil serta ditanggung pihak berkemampuan saja.
Sementara itu, MoF berkata, kerajaan belum berhasrat melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana pendapatan rakyat secara amnya masih rendah untuk dikenakan GST yang bersifat meluas.
Menurutnya, pelaksanaan SST dapat memberi impak fiskal lebih pantas kepada kerajaan berbanding langkah memperkenalkan semula GST yang memerlukan tempoh persediaan lebih panjang, iaitu sehingga dua tahun bagi memberi ruang kepada syarikat untuk bersedia mengemas kini sistem bagi menghadapi GST.
“Selain itu, SST juga dilihat lebih progresif berbanding pelaksanaan semula GST kerana struktur dan pelaksanaan peluasan SST ini dibuat secara bersasar, yang mana barang dan perkhidmatan lazimnya digunakan majoriti rakyat secara amnya tidak dikenakan cukai.”
Ia menjelaskan pertanyaan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin tahu mengapa kerajaan tidak memperkenalkan semula GST.
Jelasnya, selepas langkah semakan kadar cukai jualan mulai 1 Julai lalu, jumlah barang dikecualikan atau berkadar 0% merangkumi 1,826 barang.
“Jumlah ini lebih besar berbanding jumlah barangan berkadar 0% di bawah GST sebelum GST dimansuhkan pada 2018, iaitu sebanyak 607 barang.
“Peluasan skop cukai perkhidmatan pula melibatkan pengenaan cukai perkhidmatan ke atas 70% daripada bilangan perkhidmatan tersenarai di bawah kod Malaysia Standard Industrial Classification, berbanding 76% skop kenaan cukai di bawah GST.”
MoF berkata, jumlah pengecualian barangan lebih banyak dan peratus skop perkhidmatan lebih rendah di bawah SST berbanding GST menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat di samping memastikan kemampanan fiskal negara lebih kukuh selaras teras kerangka Ekonomi Madani.