
Beliau berkata, saiz ekonomi negeri merosot daripada RM85.6 bilion pada 2019 kepada RM77.8 bilion pada 2020 – penyusutan hampir RM8 bilion atau kemerosotan -9.1% ketika pentadbiran Presiden Warisan Shafie Apdal.
“Inilah ‘rekod cemerlang’ Warisan yang mereka mahu rakyat lupa. Itu warisan sebenar Warisan: ekonomi hancur,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Adun Sri Tanjong Justin Wong yang mendakwa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor gagal mengurus ekonomi negeri itu.
Chia berkata, keadaan berubah apabila GRS mengambil alih tampuk pemerintahan, menyaksikan pertumbuhan positif iaitu pertambahan 1.5% pada 2021, diikuti 3.9%, 1.3% dan 1.1% bagi tahun berikutnya.
“Saiz ekonomi meningkat semula kepada RM84.3 bilion pada 2024. Maksudnya, pemulihan berterusan sejak 2021, bukannya merudum seperti cuba digambarkan,” katanya.
Beliau turut menepis dakwaan Wong berhubung kedudukan Sabah yang dikatakan keluar daripada enam negeri teratas penyumbang ekonomi negara berdasarkan jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Chia menegaskan, perkara tersebut tidak harus dijadikan modal politik kerana perbezaan dengan Perak hanya sekitar 0.1–0.2%, walaupun negeri itu mendapat limpahan projek nasional di Lembah Klang.
“Yang lebih luar biasa, ekonomi Sabah tetap tumbuh positif meskipun sedang menyusun semula struktur ekonomi baharu yang lebih berdaya tahan di bawah Pelan Hala Tuju SMJ.
“Memang normal untuk ekonomi berkembang lebih perlahan ketika dalam fasa peralihan,” katanya.
Menurutnya, prestasi Warisan sudah merosot sebelum pandemik Covid-19, apabila pertumbuhan ekonomi Sabah menjunam daripada 8.1% pada 2017 kepada 1.5% (2018) dan hanya 0.7% pada 2019.
Bagi menutup kelemahan itu, Chia berkata pemimpin Warisan mengelirukan fakta dengan menafikan pertumbuhan positif antara 2021 hingga 2024, selain hakikat bahawa kutipan hasil serta rizab kewangan negeri turut meningkat.
“Dari segi hasil negeri, Warisan hanya berjaya mengutip RM4.2 bilion pada 2019. Di bawah GRS, hasil negeri melonjak hampir RM7 bilion untuk dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023 – rekod tertinggi dalam sejarah Sabah.
“Rizab Sabah semasa Warisan hanya tinggal RM3.2 bilion (2019), manakala di bawah GRS meningkat kepada RM8.6 bilion (2024). Kenaikan lebih 160% atau lebih 2.5 kali ganda ini bukti GRS lebih cekap dari segi tatakelola ekonomi dan tadbir urus fiskal negeri,” katanya.