
Menteri perpaduan negara berkata, ia bukan sekadar dokumen dasar atau slogan untuk dihafal, tetapi falsafah negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 selepas tragedi 13 Mei 1969 untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dalam negara.

“Rukun Negara bukan hanya masih relevan, malah merupakan tiang seri kepada kestabilan dan kemajuan negara.
“(Di) Era media sosial dan globalisasi kini, wujud banyak cabaran seperti penyebaran fitnah, kebencian antara kaum, sikap tidak hormat undang-undang dan jika ini tidak dikawal boleh melemahkan perpaduan. Di sinilah pentingnya kita berpegang pada Rukun Negara,” katanya kepada FMT.
Selepas tragedi berdarah itu, Rukun Negara digubal oleh Majlis Perundingan Negara (MPN) dianggotai 13 tokoh daripada pelbagai latar belakang untuk membina semula perpaduan kaum.
Aaron percaya, membina perpaduan bukan kempen bermusim tetapi proses sepanjang hayat bermula usia kanak-kanak sehingga dewasa.
“Antara usaha dilaksanakan kementerian ini adalah mewujudkan tabika perpaduan, Kelab Rukun Negara di sekolah rendah, Sekretariat Rukun Negara (SRN) di peringkat pengajian tinggi sebagai platform mengarusperdanakan penghayatan Rukun Negara.
“Seiring evolusi generasi serta dalam usaha meningkatkan pengamalan Rukun Negara oleh anak muda, kementerian tahun ini bawah pimpinan saya mengambil anjakan baharu dengan memperkenalkan Arkib@Sekolah, Gerak Integrasi Perpaduan, Citra Negaraku, Konvensyen SRN dan Simposium Pendidikan Rukun Negara,” katanya.
Aaron berkata, kini media sosial semakin menjadi medan polarisasi kaum, justeru kementeriannya turut menekankan pelaksanaan Kempen Taat Setia Rukun Negara sebagai usaha memperkukuh semangat kebangsaan dan perpaduan masyarakat.

Sementara itu, Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, nilai Rukun Negara yang disemai sekian lama kini membuahkan hasil apabila rakyat mampu bertolak ansur dalam segala hal tanpa campur tangan kerajaan.
Katanya, ia membuktikan kemampuan dan kematangan rakyat dalam mencari jalan bagaimana untuk hidup bersama tanpa menjejaskan perpaduan.
“Tiap minggu di kawasan perumahan seluruh negara, akan ada orang pasang khemah atas jalan untuk kerja kenduri, tapi bagaimana orang sekeliling boleh terima dan tiada pergaduhan? Sebab mereka berunding sesama sendiri,” katanya.
Menurutnya, perpaduan hasil acuan Rukun Negara bersifat abstrak yang dapat dilihat dan boleh dirasai.
“Bila ada perlawanan badminton antara legenda Lee Chong Wei dengan Lin Dan, (ibarat) semua orang tiada di jalan raya dan semua tengok televisyen, tonton di restoran Melayu, Cina waima warung. Waktu itu kita dapat rasa semangat kekitaan itu.
“Perpaduan itu kadang terlihat, kadang seakan hilang. Namun, kesepaduan yang terjalin itu sentiasa ada,” katanya.