
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tangkapan dilakukan hasil hampir 10,000 operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
“Ini bukan kerja mudah, tanggungjawabnya berat, namun ia dilaksanakan dengan cemerlang oleh pasukan polis. Saya berdiri di sini untuk hormat keberanian anda dalam menjalankan tanggungjawab ini,” katanya pada majlis penutup Dialog Khas Polis III.
Beliau berkata kepakaran JSJK bukan sahaja melindungi ekonomi, malah meningkatkan kepercayaan rakyat pada institusi keselamatan.
Saifuddin mengingatkan anggota dan pegawai polis supaya terus meningkatkan keupayaan dan kompetensi sebagai agensi penguatkuasaan utama, termasuk menguasai penggunaan kecerdasan buatan dalam usaha membanteras jenayah, khususnya jenayah siber.
“Pada masa sama, kementerian komited untuk memperkukuh pasukan polis melalui pemodenan prasarana, pengembangan kapasiti serta sokongan rentas sektor,” kata beliau.
Mengulas forum dialog berkenaan, beliau berkata perbincangan menumpukan kepada isu keselamatan negara yang kini tidak lagi terbatas pada sempadan fizikal, sebaliknya merangkumi perlindungan data, kedaulatan digital dan kesedaran siber kolektif.
“Antara mesej utama yang diketengahkan adalah keperluan memperkukuh kerjasama antara agensi dalam menghadapi jenayah siber yang semakin kompleks.
“Penekanan turut diberikan kepada peranan JSJK yang berada di barisan hadapan memerangi jenayah komersial,” katanya.
Dialog anjuran JSJK dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Alpine Integrated Solutions dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad itu menghimpunkan agensi keselamatan, pakar teknologi, ahli akademik serta sektor swasta.