
Hakim Aliza Sulaiman membenarkan permohonan dibuat oleh Setiausaha Penaja Urimai Satees Muniandy selepas pihak peguam negara tidak membantah.
Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes pada 11 Sept.
Ini merupakan kali kedua mahkamah membenarkan entiti politik itu memulakan prosiding semakan kehakiman.
Pada 4 Julai tahun lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) menolak permohonan Urimai, menyebabkan ia mengemukakan rayuan kepada menteri.
Pada 20 Dis, Urimai memfailkan permohonan kebenaran pertama, dengan alasan tiada sebarang maklum balas menteri berhubung rayuannya. Permohonan itu dibenarkan Mahkamah Tinggi pada 27 Feb tahun ini.
Pada 7 Mac, menteri dalam negeri secara rasmi menolak rayuan Urimai, sekali gus membawa kepada permohonan kebenaran terbaharu ini.
Timbalan pengerusi penaja Urimai, P David Marshel, menyambut baik keputusan mahkamah.
“Mahkamah adalah jalan terakhir kami untuk mempertahankan hak perlembagaan terhadap kebebasan demokrasi,” katanya sambil berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara kerana tidak membantah.
Peguam Tony Thian mewakili Urimai manakala Peguam kanan persekutuan, Nor Idayu Amir, mewakili peguam negara dalam prosiding itu.