
M Visvanathan berkata, tidak wajar memulakan prosiding jenayah apabila tidak diketahui sama ada buli menyumbang kepada kematian Zara Qairina, manakala Salim Bashir berpendapat pendakwaan ke atas lima remaja itu terlalu awal kerana perbicaraan boleh menjejaskan siasatan koroner.
Seorang lagi peguam, S N Nair, berkata perbicaraan boleh ditangguhkan untuk memberi laluan kepada inkues yang mungkin membawa kepada pertuduhan terhadap lima remaja itu dipinda atau ditarik balik.
Inkues kematian Zara Qairina dijadualkan bermula 3 Sept ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Visvanathan berkata, perkara itu lebih mendesak kerana didedahkan Zara Qairina menyimpan diari terperinci semua insiden buli yang didakwa dialaminya.
“Bagi memudahkan siasatan bermakna terhadap punca kematiannya, laporan bedah siasat dan semua keadaan sekeliling perlu diteliti semasa siasatan,” katanya kepada FMT.
Salim berkata, Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada koroner untuk menghentikan inkues jika terdapat pertuduhan terhadap suspek berhubung kesalahan membabitkan kematian seseorang.
Lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada 20 Ogos lalu atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zara Qairina yang boleh menyebabkan beliau tertekan. Mereka didakwa berbuat demikian antara 10 hingga 11 malam 15 Julai lalu di SMK Agama Tun Datu Mustapha di Papar.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah itu, sebelum meninggal dunia di hospital keesokannya.
Jabatan Peguam Negara mempertahankan keputusannya mendakwa lima remaja terbabit atas alasan pertuduhan itu berkaitan perbuatan buli secara khusus dan tiada kaitan dengan kematian Zara Qairina.
Salim berkata, pihak berkepentingan boleh memohon semakan Mahkamah Tinggi untuk menentukan ketepatan, kesahihan dan kewajaran prosiding inkues koroner.
Nair pula berpendapat, pihak pendakwa raya boleh memohon lima tertuduh dilepas tanpa dibebaskan sementara menunggu keputusan inkues. Suspek baharu boleh didakwa jika ada bukti.