Semua pihak diminta sabar tunggu laporan kesihatan anak Rafizi

Semua pihak diminta sabar tunggu laporan kesihatan anak Rafizi

Perkara itu masih dalam peringkat siasatan dan memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

DZULKEFLY_AHMAD
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad minta semua pihak bersabar berhubung kesihatan anak Rafizi Ramli kerana masih dalam peringkat siasatan.
PUTRAJAYA:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad meminta semua pihak bersabar dalam menunggu keputusan laporan perubatan berkaitan kes anak lelaki bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman, Dzulkefly berkata perkara itu masih dalam peringkat siasatan dan memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan.

“Perkara ini sesuatu yang akan memerlukan masa untuk siasatan dan rawatan, kita perlu mengizinkan siasatan itu berada atas landasannya.

“Kita kena bersabar sedikit untuk mendapatkan satu dapatan dan hasil yang saya yakin dapat mengadili perkara ini dengan baik,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan anak lelaki Rafizi diserang di kawasan menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah, di sini kira-kira 2 petang pada 13 Ogos lepas.

Rafizi mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dengan seorang daripada mereka bertindak mengheret anaknya sebelum mencucuk sesuatu menggunakan jarum suntikan.

Pada Jumaat lepas, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata polis mengambil keterangan 19 individu termasuk ahli keluarga Rafizi, pemandu, pekerja serta beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.

Khalid berkata polis masih menunggu laporan kimia daripada hospital berkaitan cecair yang disuntik kepada anak Rafizi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.