
Ketua Polis Keningau, Yampil Anak Garai berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, suspek yang dipercayai mabuk cuba menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik penduduk kampung.
Bagaimanapun, suspek tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan cermin kenderaan itu pecah.
Katanya, kira-kira 10 minit sebelum insiden itu, suspek turut dikesan melepaskan satu das tembakan ke arah rumah seorang lagi penduduk kampung.
Namun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua kejadian berkenaan.
“Bertindak hasil laporan dibuat mangsa, polis berjaya menahan suspek di rumahnya di Kampung Liposu pada 6.30 pagi tadi.
“Turut dirampas, selaras senapang buatan sendiri, peluru hidup pelbagai jenama serta beberapa kelongsong,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Yampil berkata, ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh,” katanya.