
Anwar berkata tidak wajar menuduh kerajaan tidak melakukan apa-apa sedangkan pelbagai langkah pembaharuan telah dilaksanakan termasuk pembanterasan rasuah dan penambahbaikan tatakelola.
Menurutnya, malah kerajaan negeri ditadbir parti pembangkang turut menikmati pembangunan menerusi inisiatif kerajaan seperti bantuan awal pembangunan infrastruktur projek penanaman padi lima musim di Kedah dan tebatan banjir di Kelantan.
Anwar yang juga menteri kewangan turut mengkritik sikap sesetengah pemimpin yang memetik ayat al-Quran termasuk alasan agama bagi menidakkan usaha kerajaan.
“Tapi untuk menidakkan seolah-olah ada penipuan, tiada apa dilakukan…itu satu kepalsuan, apa lagi kalau digunakan alasan agama.
“Kalau hendak menegur, mengkritik atau berbahas mesti berdasarkan fakta. Jangan hanya menyerang semberono dan tidak melihat kepada angka dan fakta, itu perlu,” katanya membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Negara.
Pada 31 Julai lalu, Anwar membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat yang memperuntukkan RM611 bilion untuk menjayakan pelbagai inisiatif memanfaatkan rakyat.
Dalam pada itu, Anwar berkata Putrajaya akan terus merapatkan jurang pembangunan membabitkan enam kurang membangun seperti Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Merujuk bantuan awal RM1 bilion untuk Kedah bagi projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong projek penanaman padi lima musim, Anwar berkata kerajaan negeri seolah-olah menutup matanya.
Jelasnya, di Kelantan pula, kerajaan telah selesai melaksanakan fasa pertama tebatan banjir selain mencapai sepakat bersama pemerintah Thailand bagi proses pembesaran Sungai Golok.
“Kadang-kadang mereka tidak lihat yang itu.
“Terima kasih, jangan sekali. Tapi kadang-kadang (kata) tidak ada (peruntukan) saya pun tidak faham. Saya pergi tengok projek tu dalam proses peringkat pertama sudah selesai,” katanya.
Anwar berkata Kedah turut menerima peruntukan RM2.13 bilion, Kelantan (RM3.12 bilion), Terengganu (RM1.84 billion) dan Perlis (RM0.61 bilion) untuk pembangunan infrastruktur asas, termasuk jalan ray, bekalan air bersih, elektrik serta internet.
“Usaha ini membolehkan rakyat memanfaatkan kemudahan yang disediakan untuk mempergiat aktiviti ekonomi, seterusnya meningkatkan taraf hidup,” katanya.