Pertikaian Petronas-Petros beri kesan pada unjuran pendapatan Dayang

Pertikaian Petronas-Petros beri kesan pada unjuran pendapatan Dayang

Ketidaktentuan akibat kebuntuan rundingan Petronas-Petros beri kesan pada keuntungan Dayang Enterprise.

Keuntungan bersih Dayang Enterprise bagi suku kedua tahun kewangan 2025 rosot 41.7% kepada RM76.6 juta, berbanding RM131.4 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Firma penyelidikan pesimis tentang prospek pendapatan Dayang Enterprise Holdings Bhd, susulan pertikaian antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) yang berpangkalan di Sarawak itu berdepan kesan ketidaktentuan yang timbul akibat kebuntuan tersebut. Untung bersih bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun (S2 FY2025) merosot 41.7% kepada RM76.6 juta, berbanding RM131.4 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Hasil suku kedua (Q2) susut 41.4% kepada RM267.4 juta berbanding RM455.8 juta pada tahun sebelumnya. Kejatuhan berkenaan dikaitkan dengan kadar penggunaan kapal yang lebih rendah, akibat kelewatan permulaan kontrak oleh syarikat minyak utama.

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, tinjauan jangka pendek Dayang tetap ‘dibayangi kelewatan berterusan dalam pelaksanaan pesanan kerja’, meskipun mempunyai pesanan kukuh bernilai RM5 bilion serta prospek aktiviti industri yang sihat.

“Jurang penganugerahan kontrak dengan aliran kerja sebenar menimbulkan risiko penurunan terhadap keterlihatan pendapatan pada suku akan datang,” katanya dalam nota terbaharu.

“Walaupun Petronas Activity Outlook 2025-2027 menunjukkan aktiviti sektor yang kukuh, kami menjangkakan kelewatan pelaksanaan selanjutnya susulan penyelesaian yang melibatkan Petros,” tambahnya.

PublicInvest mengurangkan unjuran pendapatan bagi Dayang secara purata 49.3%, mencerminkan kesan pertikaian yang berlarutan. Ia juga menurunkan saranannya kepada ‘kurang memberangsangkan’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM1.58 berbanding RM1.70 sebelum ini.

Ketidakpastian kawal selia

CIMB Securities mengekalkan penarafan ‘hold’ dan TP pada RM1.70 untuk Dayang, kerana yakin penilaian syarikat pada masa ini adalah adil sejajar iklim operasi yang mencabar.

Kewaspadaan ini kesan pertikaian Petronas-Petros, yang berisiko memanjangkan ketidakpastian kawal selia, melambatkan pelancaran kontrak, dan akhirnya menjejaskan momentum perolehan Dayang.

Kenanga Research mengekalkan penarafan ‘kurang memberangsangkan’ bagi Dayang, namun menurunkan TP kepada RM1.44 daripada RM1.56 sebelum ini.

Ia merujuk prospek aktiviti huluan yang lemah dalam keadaan makro yang lemah, termasuk kesuraman harga minyak mentah serta ‘kebuntuan Petronas-Petros’.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan penarafan ‘beli’ terhadap Dayang, tetapi dengan harga TP lebih rendah iaitu RM2.01 berbanding RM2.67 sebelum ini.

“Kami menjangkakan pendapatan Dayang kekal berdaya tahan, disokong oleh pemulihan selepas monsun,” katanya dalam satu nota.

Namun, ia tetap waspada terhadap prospek pendapatan jangka pendek kumpulan itu berikutan pemotongan perbelanjaan modal oleh Petronas, tetapi menekankan baki pesanan Dayang yang kukuh, iaitu RM5.1 bilion yang memberikan keterlihatan untuk beberapa tahun mendatang.

Dayang memulakan operasi pada 1980 dengan berdagang bahan perkakasan serta pembekalan tenaga kerja untuk industri O&G luar pesisir.

Syarikat itu berkembang pesat selepas mempelbagaikan perniagaan kepada penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, operasi fabrikasi, kerja ‘hook-up and commissioning’, serta penyewaan kapal marin.

Petronas dan syarikat dikuasai kerajaan Sarawak, Petros, terbabit dalam pertikaian mengenai peranan sebagai agregator gas di negeri itu. Kedua-dua syarikat berkenaan juga terbabit dalam pelbagai tuntutan undang-undang.

Sarawak mencabar penguasaan Petronas terhadap rizab minyak dan gas Malaysia, sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Kemajuan Petroleum, yang memberikan syarikat minyak dan gas nasional itu kawalan ke atas rizab hidrokarbon negara.

Sarawak menyimpan kira-kira 60% daripada rizab gas Malaysia dan menyumbang 90% eksport gas asli cecair (LNG) negara.

Pada Mei lalu, kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak menandatangani deklarasi bersama mengenai pengagihan gas di negeri itu. Namun, butiran serta struktur baharu pembangunan O&G Sarawak tidak didedahkan.

Saham Dayang ditutup naik dua sen atau 1.1% pada RM1.77, menjadikan nilai kumpulan itu RM2.05 bilion. Harga sahamnya merosot 14.5% sejak awal tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.