
Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata antara 12 rumusan PAC dalam penyata berhubung pembangunan tanah di Kuala Lumpur mendapati peranan terhad Lembaga Penasihat Bandar di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190).

Menurutnya, mereka tidak mempunyai kuasa membuat keputusan secara bersama yang berbeza dengan sistem Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri lain.
“Ini menyebabkan ketiadaan mekanisme semak dan imbang berkesan dalam sebarang keputusan berkaitan pembangunan tanah Kerajaan di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat.
Beliau membentangkan dapatan prosiding pembangunan tanah Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan dan DBKL.
Isu penjualan tanah di Kuala Lumpur menjadi perhatian dengan pelbagai pihak menyeru siasatan lanjut dan pembetulan untuk memastikan ketelusan serta integriti dalam pengurusan dan pembangunan tanah.
Susulan itu, Mas Ermieyati berkata PAC menggesa kerajaan menyemak semula dan membuat pindaan sewajarnya terhadap akta berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur seperti Akta Ibu Kota 1960 dan Akta Perancangan 1982 (Akta 267).
“Langkah itu bagi memperkenalkan sistem Ahli Majlis lantikan DBKL seperti di negeri-negeri lain demi memastikan semak dan imbang,” katanya.
Gesaan melantik Ahli Majlis di Kuala Lumpur pernah disuarakan DAP Wilayah Persekutuan pada 13 Okt lalu untuk memperkenalkan reformasi bagi memastikan tadbir urus baik.
Langkah itu juga bertujuan ke arah pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata dapatan juga mendapati pelanggaran terhadap Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) yang berterusan menyebabkan pembangunan tidak terkawal dan membuka ruang kepada pelbagai pihak memohon pembangunan.
Menurutnya, pembatalan rizab tanah awam dan kawasan hijau yang telah diwartakan dalam PTKL dan diberi milik kepada pihak pemaju adalah isu kritikal yang boleh menjejaskan kualiti hidup penduduk dan fungsi ekologi bandar.
“Ini menunjukkan ada kelemahan dalam sistem perancangan pembangunan tanah di Kuala Lumpur yang memerlukan semakan semula.
“Terutamanya berkaitan kewajaran pembangunan seperti pemberian milik tanah bagi projek berdensiti tinggi di kawasan lapang atau hijau,” katanya.