
Dalam hujahan penutup perbicaraan saman sivil oleh syarikat itu, Farhan Shafee berkata skim berkenaan — jika benar wujud — hanyalah antara Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas CEO SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.
Farhan berkata dakwaan syarikat itu tentang ‘konspirasi besar’ melibatkan Najib adalah ‘fiksyen’, dengan menegaskan kesalahan sebenar berpunca daripada kegagalan tadbir urus korporat serta tindakan individu lain yang tidak dikenalinya.
Beliau berhujah bagi pihak pembelaan Najib terhadap saman sivil bernilai USD1.18 bilion difailkan terhadapnya dan Nik Faisal, yang masih diburu, atas dakwaan menyalahgunakan harta syarikat serta berkonspirasi secara tidak jujur untuk menggunakannya bagi kepentingan sendiri.
Farhan berhujah Low telah mengejar agenda peribadi dengan mengeksploitasi SRC dan 1MDB untuk keuntungan sendiri, malah mendakwa Nik Faisal bertindak sebagai ejen Low dalam syarikat itu.
“Dari sudut undang-undang, seseorang hanya boleh dipertanggungjawabkan terhadap konspirasi jika menjadi sebahagian daripada perjanjian itu. Seseorang tidak boleh dipaksa terlibat hanya kerana dia merupakan figura utama dalam syarikat.
“Kami mendesak mahkamah supaya tidak membenarkan besarnya penipuan yang dilakukan orang lain dijadikan alasan untuk meletakkan liabiliti kambing hitam ke atas Najib tanpa bukti,” katanya.
Farhan menegaskan Low dan Nik Faisal dibantu pengarah-pengarah yang mempunyai ‘kepentingan jelas untuk mengalihkan kesalahan ke atas pihak atasan’.
“Mahkamah harus melihat naratif mereka yang terkemudian bahawa ‘ini adalah konspirasi Najib’ dengan penuh keraguan, terutamanya kerana mereka pada awalnya turut disaman oleh SRC atas kerugian sama, tetapi kemudiannya digugurkan sebagai defendan,” katanya.
Saman itu pada mulanya turut menamakan bekas pengerusi SRC Ismee Ismail, serta bekas pengarah Suboh Yasin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar sebagai defendan bersama.
Namun, SRC kemudian menggugurkan saman terhadap mereka. Walau begitu, mereka dimasukkan semula sebagai pihak ketiga oleh Najib.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin akan bersambung pada 24 Sept.