Mula kandungan video lucah, wanita didenda RM14,000

Mula kandungan video lucah, wanita didenda RM14,000

Pembantu kedai itu mengaku salah atas dua pertuduhan yang dilakukan guna akaun X.

sepang
Siti Amiza Baharuddin, 28, diperintah Mahkamah Sesyen Sepang dipenjara enam bulan bagi setiap tuduhan jika gagal bayar denda. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pembantu kedai pakaian didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat lucah menerusi akaun X, tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Siti Amiza Baharuddin, 28, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman hakim menasihati Siti Amiza agar insaf dengan perbuatannya dan menjadikan ia sebagai pengajaran.

“Orang Kena Saman melakukan komunikasi untuk tujuan komersial namun cara kamu buat sifatnya tidak kena dengan kesopanan masyarakat kita.

“Jadi undang-undang dirangka sebegitu rupa untuk memelihara moral masyarakat kita dan supaya jangan ada komunikasi seperti ini,” katanya menurut Bernama.

Terdahulu, peguam Ahmad Hafiz A Bakar mewakili tertuduh merayu dikenakan hukuman berbentuk denda minimum dengan alasan pengakuan bersalah oleh tertuduh wajar diberi pertimbangan, serta pertuduhan dihadapinya mendatangkan kesan kepada kesihatan fizikal dan mental tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Fadhli Ab Wahab memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, Siti Amiza didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang lucah sifatnya dengan niat mengganggu orang lain.

Hantaran tersebut dilakukan pada 10.13 malam, 18 Dis 2022 dan 7.47 malam, 13 Sept 2022.

Kedua-dua hantaran itu telah dilihat SKMM pada 10.08 pagi dan 4.34 petang, 19 Mei 2023 di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, 63000 Cyberjaya, Sepang, Selangor.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3), iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ahmad Fuad turut memerintahkan agar barang kes iaitu komputer riba dan telefon bimbit diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk proses selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.