Mohd Haris dilantik timbalan pengarah urusan SD Guthrie

Mohd Haris dilantik timbalan pengarah urusan SD Guthrie

Pelantikan Mohd Haris Mohd Arshad berkuat kuasa 1 Sept depan.

Mohd Haris Mohd Arshad menyertai SD Guthrie Berhad pada 2014 sebagai ketua unit perkilangan hiliran.
PETALING JAYA:
SD Guthrie Berhad melantik ketua pegawai operasi (COO) kumpulannya Mohd Haris Mohd Arshad sebagai timbalan pengarah urusan berkuat kuasa 1 September.

Mohd Haris, 53, menyertai Guthrie pada 2014 sebagai ketua unit perkilangan hiliran sebelum dilantik mengetuai segmen hiliran, tiga tahun kemudiannya.

Selepas penggabungan perniagaan hiliran Guthrie di bawah Sime Darby Oils pada 2019, beliau menjadi pengarah urusan pertama syarikat itu dan memainkan peranan penting dalam program transformasi, meningkatkan keuntungan, serta mengetuai inisiatif berkaitan kelestarian, tadbir urus, pendigitalan, keselamatan dan pembangunan bakat.

Sebagai COO kumpulan, beliau membangunkan asas model perniagaan ‘OneStream’ dan dikenali sebagai penyokong utama mekanisasi, automasi serta pendigitalan industri sawit.

Selain peranan di Guthrie, beliau juga pengerusi Lembaga Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pengerusi Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM), dan ahli lembaga pemegang amanah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Sebelum menyertai Guthrie, Mohd Haris berkhidmat di Cargill, Nestlé dan Unilever dalam bidang perdagangan global, perolehan serta pengurusan risiko komoditi.

Beliau berkelulusan Pentadbiran Perniagaan dari University of Arizona, Amerika Syarikat, dan alumni Advanced Management Programme, Harvard Business School.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.