
Ketua Polis Kota Bharu, Mohd Rosdi Daud, berkata maklumat mengenai penemuan mayat itu diterima daripada MERS 999 pada 6.30 petang, semalam, sebelum pihaknya bersama unit Forensik IPK Kelantan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa adalah seorang lelaki tanpa sebarang identiti, berpakaian kemeja-T berkolar ungu, dan seluar pendek khakis coklat dengan bertali pinggang.
“Keadaan mayat ketika ditemui sudah membengkak dan hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II 12.15 tengah malam tadi mengesahkan punca kematian adalah akibat kesan luka hiris pada leher.
“Setakat ini identiti lelaki masih belum dikenal pasti dan polis sedang menunggu laporan cap jari serta DNA bagi tujuan pengecaman,” katanya dalam kenyataan.
Rosdi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan, Norismalina Ahmad di talian 012-7941447 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga siasatan selesai.