Lelaki ditahan sembunyi 24kg dadah

Lelaki ditahan sembunyi 24kg dadah

Heroin dan syabu dianggar hampir RM1 juta boleh menampung 420,000 penagih.

fadil marsus
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata lelaki berusia 29 tahun itu direman hingga 27 Ogos. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penahanan seorang lelaki membawa rampasan 24kg pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1 juta dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan bersama dengan rampasan sebuah beg plastik mengandungi dua ketulan mampat disyaki dadah jenis heroin base anggaran berat 141.5g dalam operasi pada 6.15 petang, Rabu lalu, di lobi sebuah residensi di KL South, Kuala Lumpur.

Katanya, pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kereta jenis Toyota Vios yang diletakkan di kawasan taman perumahan, Taman Segar, Cheras, susulan tangkapan tersebut.

“Pemeriksaan dalam bonet telah menjumpai seguni dan satu beg kain berisi lapan ketulan mampat disyaki dadah jenis heroin base anggaran berat 3kg dan 20 bungkusan teh cina disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 20.5kg.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan RM974,000, yang boleh menampung penggunaan seramai 420,400 penagih dadah pada satu masa,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Fadil, suspek dipercayai menjadikan kenderaan berkenaan sebagai stor sebelum mengedar bahan terlarang itu kepada pelanggan.

“Sindiket ini dipercayai mula bergerak aktif sejak Oktober 2024 dan menjalankan pengedaran di sekitar Lembah Klang. Dadah jenis ibu heroin yang dirampas akan diproses terlebih dahulu untuk dijadikan heroin yang boleh digunakan penagih,” katanya.

Tambahnya, ujian air kencing didapati negatif dadah, manakala semakan rekod lampau mendapati suspek pernah dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Suspek direman tujuh hari hingga 27 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.