
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad juga menggesa kerajaan supaya tidak tergesa-gesa membentangkan RUU itu dan memperhalusi perkara tersebut dengan bijaksana dan inklusif.
“RUU PSB akan memberi kesan besar terhadap masa depan bandar-bandar Malaysia dan secara tidak langsung terhadap negara.
“Saya mendesak kerajaan supaya tidak meneruskan bacaan kedua dan ketiga RUU Pembaharuan Semula Bandar ini, serta menangguhkannya sehingga semua isu kebimbangan berkaitan dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Nik Nazmi, yang meletak jawatan sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar pada Mei lalu, turut mencadangkan supaya RUU itu hanya dibentangkan selepas RUU Sewaan Kediaman yang sudah lama dinantikan direalisasikan terlebih dahulu.
Katanya, akta tersebut penting kerana akan mengawal selia hubungan tuan rumah–penyewa serta melindungi kepentingan kedua-dua pihak.
Khamis lalu, tujuh wakil rakyat PKR termasuk Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail turut menggesa RUU itu dikaji semula, susulan kebimbangan mengenai ambang persetujuan.
Mereka juga mahu taklimat lebih menyeluruh diberikan kepada anggota Dewan Rakyat, termasuk kesan pada penyewa miskin bandar.