
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPK) dalam kenyataan memaklumkan pelepasan itu diberikan selepas pemeriksaan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat keretakan kecil pada dinding bangunan dan beberapa ruang bahagian dalam KKS, namun ia tidak melibatkan kerosakan pada struktur dan bahagian rasuk struktur bangunan.
“Pemeriksaan bangunan utama di dua blok asrama KKS2 yang menempatkan lebih kurang 200 pelajar turut dijalankan. Pelajar diarahkan pulang bagi memberi ruang kerja pemeriksaan bangunan dengan lebih lanjut, namun operasi pejabat berjalan seperti biasa.”
Menurutnya, JPPK akan terus memantau rapat keadaan itu bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kelancaran operasi institusi terus terjamin.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan gegaran pertama bermagnitud 4.1 di Segamat berlaku pada 6.13 pagi, manakala gegaran kedua pada 9 pagi bermagnitud 2.8 melanda Yong Peng di Batu Pahat, iaitu kira-kira 28km di barat laut Kluang.
Polis menerima tiga laporan kerosakan harta benda susulan gegaran itu, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.