Bukan 100,000 tapi 25,000 penganggur belia, kata exco Kedah

Bukan 100,000 tapi 25,000 penganggur belia, kata exco Kedah

Wong Chia Zhen memetik data rasmi DOSM bagi nafi dakwaan Sekretariat Suara Anak Kedah, pada Himpunan 'Honggaq' semalam.

WONG_CHIA_ZHEN_ADUN_KULIM
Exco Sumber Manusia Wong Chia Zhen, menyifatkan dakwaan dikeluarkan ketika Himpunan ‘Honggaq’ cetus keresahan rakyat dan mencemarkan imej Kedah.
PETALING JAYA:
Kadar pengangguran Kedah hanya 1.7% atau kurang 25,000 berdasarkan data rasmi dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sekaligus menafikan dakwaan lebih 100,000 belia menganggur.

Exco Sumber Manusia Wong Chia Zhen, menyifatkan dakwaan dikeluarkan tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan keresahan rakyat dan mencemarkan imej Kedah.

“Berdasarkan data DOSM Kedah, kadar pengangguran di Kedah telah menunjukkan penurunan konsisten sepanjang dua tahun lalu dan berada pada 1.7% pada suku keempat 2024, antara kadar terendah di Malaysia.

“Dengan jumlah tenaga buruh Kedah sekitar 65% daripada 2.13 juta penduduk, kadar pengangguran 1.7% bermaksud kurang 25,000 penganggur. Dakwaan kononnya terdapat 100,000 belia Kedah menganggur jauh tersasar dan tidak selari fakta rasmi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Wong berkata demikian mengulas dakwaan Pengarah Sekretariat Suara Anak Kedah, Sulaiman Ibrahim ketika berucap pada Himpunan ‘Honggaq’ mendakwa 100,000 belia negeri menganggur walaupun kerajaan Kedah mendakwa berjaya menerima pelaburan besar.

Mengulas lanjut, Wong yang juga Adun Kulim turut membandingkan kadar pengangguran nasional berada sekitar 3.1 hingga 3.2% dengan jumlah penganggur melebihi 530,000.

“Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun Kedah mempunyai kurang daripada 25,000 penganggur, angka ini jauh lebih rendah daripada purata negara, sekali gus menafikan tuduhan liar dilemparkan,” katanya.

Jelasnya, kerajaan bersama pihak berwajib prihatin dan akan terus mencari jalan untuk menurunkan lagi angka pengangguran, termasuk melalui program peningkatan kemahiran, penganjuran karnival kerjaya, serta kerjasama dengan pelabur bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Sekiranya wujud isu sebenar yang perlu diberi perhatian, saya sedia bekerjasama dengan menteri sumber manusia demi kepentingan rakyat Kedah. Menyebarkan angka tidak benar adalah berniat jahat yang boleh merosakkan keyakinan pelabur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.