6 ditahan, 173.3 tan beras seludup dirampas

6 ditahan, 173.3 tan beras seludup dirampas

Enam lelaki tempatan yang juga pemandu dan kelindan treler turut ditahan.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (kanan) berkata 3,467 guni beras seludup dirampas dalam serbuan di lima lokasi di Tanah Merah dan Pasir Mas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam (JKDM) Kelantan merampas 173.3 tan metrik beras seludup dari negara jiran bernilai lebih RM650,000 termasuk cukai di Tanah Merah dan Pasir Mas.

Enam lelaki tempatan yang juga pemandu dan kelindan treler berusia 30-an turut ditahan dalam serbuan mulai 15 Julai hingga 15 Ogos itu.

Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata 3,467 guni seberat 173.3 tan metrik beras seludup dirampas dalam serbuan di lima lokasi itu.

“Nilai rampasan beras adalah RM468,045, manakala cukai terbabit RM187,718 serta nilai kenderaan RM1.39 juta. Keseluruhan rampasan lebih RM2 juta,” katanya menurut berita Harian.

Beliau berkata, modus operandi yang dipercayai didalangi sindiket itu ialah menyeludup bekalan beras menggunakan pangkalan haram sebelum dipunggah dengan lori kecil.

Menurutnya, beras itu kemudian dipunggah ke treler di lokasi tertentu untuk dihantar ke pasaran di Lembah Klang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, di mana siasatan awal mendapati kegiatan itu bermula beberapa minggu lalu.

Beliau menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi penyeludupan serta tidak terbabit kegiatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.