
Biarpun dilihat sebagai ‘pendatang baharu’, Haim yakin pengalamannya dalam dasar awam mampu menyumbang kepada pemikiran dan hala tuju parti.
Haim, 52, adalah exco industri dan pelaburan, pengajian tinggi, sains, teknologi dan inovasi dalam pentadbiran Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor.
“Islam penuh dengan nilai sejagat yang baik dan boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat,” katanya kepada FMT.
“Inilah asas yang saya bawa, dan saya percaya ia satu tawaran yang wajar dipertimbangkan oleh rakyat.”
Politik bersih dan berintegriti juga antara naratif yang beliau mahu bawa, seiring aspirasi rakyat.
“Semua ini bertunjang kepada prinsip keadilan, dengan Islam sebagai panduan utama,” katanya.
Haim menyertai PAS pada 10 Jun 2023. Memiliki pengalaman selama 23 tahun dalam bidang akademik dan ijazah kedoktoran pengurusan strategik dari Universiti Putra Malaysia, di UUM beliau adalah profesor di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan.
Haim percaya boleh menyumbang kepada hala tuju PAS yang lebih dinamik dan progresif, dengan latar belakang akademik serta pengalamannya dalam kerajaan.
“Saya ingin menyumbang dalam konteks kepakaran pendidikan, khususnya dalam bidang ekonomi. Pengalaman saya sebagai exco pelaburan juga membolehkan saya menawarkan satu bentuk gerak kerja dan pemikiran yang lebih komprehensif,” katanya.
Haim akan bersaing dengan 37 calon lain bagi 24 tempat sebagai ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.
Mengenai penerimaan perwakilan PAS yang terkenal dengan agamawan, Haim mengulangi beliau boleh menyumbang kepada parti dan negara.
“Saya baru dalam PAS, tetapi lama dalam dunia akademik,” katanya.
PAS akan mengadakan pemilihan kepimpinan dalam muktamar dijadual berlangsung pada 15 hingga 16 Sept di Kedah.