
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Jazmanie Shafawi berkata, semua penemuan dan dapatan hasil siasatan kini berada dengan kementerian untuk diumumkan secara rasmi.
“Siasatan kemalangan bas yang meragut nyawa 15 penuntut UPSI dah pun dibentangkan di peringkat kementerian.
“Hasil siasatan itu sudah ada. Cuma untuk perkembangannya, akan dimaklumkan oleh kementerian,” katanya selepas acara di Stesen Penguatkuasa JPJ Labok, Machang, hari ini, lapor Sinar Harian.
Dalam kejadian di laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik pada 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas dinaiki mereka dari Jertih, Terengganu, ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan yang turut membabitkan sebuah Perodua Alza.
Kemalangan itu mengakibatkan 33 individu lain cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas, serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
JPJ sebelum ini memaklumkan, kertas siasatan dibuka terhadap pengendali bas dan syarikat pemajak selepas dipercayai gagal mematuhi komponen audit keselamatan, termasuk aspek pengawasan pemandu, pemantauan sistem penentu kedudukan global (GPS) serta garis panduan waktu kerja serta rehat.