
Katanya, peruntukan itu merupakan tambahan daripada pengumuman yang dibuat dua tahun lalu bertujuan membangunkan semula Gaza.
“Malam ini saya umumkan bagi pihak kerajaan Madani, kita telah luluskan dua tahun lalu RM100 juta, malam ini kerajaan Malaysia beri RM100 juta lagi,” katanya ketika berucap pada malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka.
Beliau juga meminta syarikat besar di negara ini turut menyalurkan bantuan kepada pembangunan semula tersebut.
“Saya minta syarikat turut prihatin mereka telah beri bantuan,” katanya.
“Saya minta rakyat, syarikat, pedagang yang kaya ingat, negara ini bebas aman, sentiasa belajar dari itu.”
Anwar juga menekankan pentingnya kesatuan rakyat Malaysia untuk menolak perpecahan dan bersama membina negara yang makmur serta menjadi contoh kepada dunia.
“Dengan kesatuan, kita boleh bersuara dan melakukan sesuatu yang jarang dilakukan oleh negara lain. Jangan biarkan bibit perpecahan merosakkan bangsa dan negara,” katanya.
Beliau juga menyeru anak muda bangkit mempertahankan negara agar terus merdeka, maju, dan mampu membantu rakyat tertindas termasuk di Gaza.
“Semoga semangat perjuangan dan ruh jihad terus subur dalam hati rakyat kita dan saudara kita di Gaza. Malaysia tidak akan meninggalkan anda sendirian,” katanya.