Kerajaan pantau TikTok lantik bekas tentera Israel jadi pengurus dasar

Kerajaan pantau TikTok lantik bekas tentera Israel jadi pengurus dasar

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan TikTok September depan.

tiktok
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan tegas terhadap TikTok jika unsur berkait Israel menyusup ke negara ini. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan wakil penyedia platform media sosial TikTok September ini berhubung pelantikan bekas anggota tentera Israel (IDF) sebagai pengurus dasar awam bahagian ucapan kebencian aplikasi itu di New York.

Menteri komunikasi berkata, beliau sudah menghantar bantahan rasmi berhubung perkara itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Shou Zi Chew.

Katanya, kerajaan ketika ini memantau pelantikan itu kerana dikhuatiri menjejaskan pendirian Malaysia dalam menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

“Saya mengambil maklum berita pelantikan ini dan segera menyampaikan bantahan awal dengan menghubungi ketua pegawai eksekutif TikTok sendiri.

“Kita bimbang ia membuka ruang kepada kandungan berunsur pro-zionis untuk mempengaruhi algoritma TikTok, sekaligus memberi kesan kepada pengguna di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Gaza Time Tunnel di Dataran Merdeka.

Jurucakap kerajaan berkata, maklumat awal diperoleh daripada siasatan media antarabangsa mendapati jawatan itu dibayar dengan gaji tinggi dan situasi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai niat sebenar syarikat tersebut.

Katanya, ia berlaku dalam keadaan TikTok sedang melaksanakan langkah pengurangan pekerja, termasuk moderator kandungan di Malaysia dan lebih bergantung kepada sistem kecerdasan buatan (AI).

“Ini menimbulkan risiko apabila kawalan kandungan tidak lagi dijalankan oleh manusia yang memahami sensitiviti setempat. Kita tidak mahu elemen pro-Zionis menyusup masuk tanpa disedari,” katanya.

Sementara itu, Fahmi tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan tegas terhadap TikTok jika unsur berkait Israel menyusup masuk kerana platform itu beroperasi dengan lesen di Malaysia.

Namun, sebarang langkah akan dibuat selepas perbincangan rasmi bersama TikTok awal bulan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.