
“Sejurus menerima makluman mengenai gegaran itu, pasukan teknikal dan wilayah kami segera melaksanakan protokol keselamatan standard yang sedia ada bagi menghadapi kejadian seumpama ini di seluruh wilayah selatan,” kata syarikat minyak dan gas itu dalam kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada prosedur ditetapkan, PGB berkata pemeriksaan telah dijalankan di Stesen Pemampat Segamat, Stesen Kawalan Segamat, dan di sepanjang laluan saluran paip berkaitan.
Sehubungan itu, tiada sebarang kelainan atau gangguan dikesan katanya.
“Pemantauan secara langsung melalui sistem kawalan penyeliaan dan pemerolehan data (Scada) kami juga mengesahkan tahap tekanan dan parameter operasi kekal stabil,” katanya.
PGB berkata, pihaknya mengekalkan komunikasi aktif dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mendapatkan maklumat terkini secara berterusan.
“Kami akan terus mengutamakan keselamatan orang awam dan operasi kami sambil melaksanakan pemantauan yang rapi dan bersiap sedia untuk bertindak sekiranya keadaan berubah,” tambahnya.
MetMalaysia dalam kenyataan, berkata berlakunya gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 di Segamat, pada 6.13 pagi tadi dan turut dirasai penduduk di Melaka, Negeri Sembilan, dan selatan Pahang.