
Jelasnya, kerjasama DAP adalah dalam rangka kerja kerajaan perpaduan, dengan kerjasama Barisan Nasional (BN).
“Kami bekerjasama dengan BN. Oleh itu, terpulang kepada BN untuk memutuskan bagaimana mahu menguruskan kerjasama dalaman terutama dalam konteks pilihan raya akan datang,” katanya menurut Berita Harian.
Menteri pengangkutan itu berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh.
Loke mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, yang dilapor berkata MCA sukar bekerjasama dengan DAP, walaupun mereka sebahagian kerajaan sama.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Seremban itu menyifatkan MCA sering membuat kenyataan bercanggah seakan-akan mereka bukan sebahagian kerajaan.
Beliau berkata, sekiranya parti komponen tertentu tidak berpuas hati, mereka harus menyelesaikan isu itu secara dalaman dalam BN.
“Setahu saya, pucuk pimpinan BN khususnya Umno, duduk dalam Kabinet dan secara konsisten menyatakan komitmen kuat untuk memperkukuh kerajaan perpaduan.
“Bagaimanapun, saya perhatikan bahawa pemimpin MCA sering membuat kenyataan bercanggah. Mungkin mereka rasa mereka bukan sebahagian daripada kerajaan, saya tidak tahu. Itu hak prerogatif mereka,” katanya.