Warisan tanding solo, tiada rundingan dengan PN

Warisan tanding solo, tiada rundingan dengan PN

Ketua Penerangan Mohd Azis Jamman menolak kemungkinan Warisan mengadakan kerjasama dengan PN seperti dibayangkan Ketua Whip Takiyuddin Hassan.

bendera warisan
Ketua Penerangan Warisan Mohd Azis Jamman, berkata tiada rundingan, perbincangan atau rancangan kerjasama dengan PN atau pakatan politik lain.
PETALING JAYA:
Warisan menegaskan tiada sebarang rundingan atau kerjasama dengan mana-mana gabungan politik lain termasuk Perikatan Nasional (PN), menjelang PRN Sabah.

Ketua Penerangan Mohd Azis Jamman, mengulangi bahawa parti itu akan bertanding secara solo sebagai respon kepada kenyataan terkini PN, membayangkan kemungkinan bekerjasama dengan partinya.

“Tiada rundingan, perbincangan atau rancangan kerjasama dengan PN, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) mahupun mana-mana gabungan politik lain mengenai kerjasama pilihan raya.

“Sebarang cadangan atau spekulasi perikatan pintu belakang adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan kedudukan rasmi Warisan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Warisan akan menghadapi pilihan raya atas kekuatan sendiri dan di bawah panji parti.

“Kami yakin bahawa rakyat Sabah akan terus meletakkan kepercayaan mereka kepada Warisan untuk menyampaikan masa depan yang lebih baik, adil, dan lebih makmur,” katanya.

Azis turut menjelaskan, satu-satunya pakatan yang dimeterai Warisan ketika ini adalah bersama rakyat Sabah.

“Fokus kami adalah untuk menangani cabaran mendesak dihadapi rakyat Sabah, termasuk peningkatan kos sara hidup, kekurangan infrastruktur, bekalan elektrik, dan air yang sering terputus, peluang pekerjaan terhad, dan tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 yang telah lama tertunggak.”

Azis berkata, pada masa ketidaktentuan politik dan oportunisme adalah perkara biasa.

“Warisan memilih untuk kekal konsisten, berprinsip, dan telus. Hala tuju kami adalah jelas bertanding solo dan untuk menyediakan rakyat Sabah sebuah kerajaan mengutamakan kebajikan mereka daripada kepentingan politik,” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata gabungan itu tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Warisan bagi menghadapi PRN Sabah yang akan datang.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak bukan sesuatu yang mustahil dalam landskap politik semasa memandangkan PN tidak bercadang untuk bergerak secara solo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.