
Menurut UM, Dr K Sivakumar menerima pengiktirafan itu pada majlis rasmi Royal College semalam, suatu pencapaian membanggakan buat Malaysia dalam komuniti pembedahan antarabangsa.
“Fellowship ini dikhaskan untuk pakar bedah yang menunjukkan dedikasi cemerlang terhadap pendidikan pembedahan dan kepimpinan,” menurut kenyataan UM.
Dr Sivakumar pula menyifatkan ‘fellowship’ itu suatu pengiktirafan yang sangat bermakna buat dirinya terutama sebagai seorang pakar bedah dalam bidang akademik di mana peranan utama beliau adalah melatih pakar bedah muda agar menjadi aset kepada negara.
Beliau berkata, ‘fellowship’ itu mengiktiraf komitmennya terhadap pendidikan pembedahan dan usaha berterusan dalam mempertingkat kecemerlangan dalam bidang pembedahan kardiotoraks untuk UM dan Malaysia.
“Sebagai pakar bedah, saya hanya mampu menyelamatkan satu nyawa pada satu masa tetapi sebagai jurulatih, saya dapat melatih orang lain untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa,” katanya.
“Saya selalu mengingatkan diri saya bahawa jika saya merawat seorang pesakit, saya bantu 10 orang tetapi jika saya melatih 10 orang, seratus nyawa dapat diselamatkan. Prinsip mudah inilah yang pegangan saya sebagai profesor dalam bidang pembedahan kardiotoraks.”
Beliau berkata, bidang pembedahan kardiotoraks di Malaysia masih kurang menerima perhatian sewajarnya.
Katanya, dengan menambah bilangan pakar bedah terlatih, lebih ramai pesakit jantung dan paru-paru di seluruh negara dapat menerima rawatan berkualiti.
Dr Sivakumar kini menerajui pembangunan program sarjana pertama dalam pembedahan kardiotoraks di Malaysia, yang bertujuan menjadikan UM sebagai pusat kecemerlangan serantau dalam bidang berkenaan.
“Kami merangka program ini mengikut piawaian antarabangsa dengan visi untuk menjadikan UM sebagai hab latihan pembedahan kardiotoraks bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh Asean,” katanya.
Naib Canselor UM Profesor Noor Azuan Abu Osman pula berkata, pencapaian itu mencerminkan kecemerlangan universiti itu dan berharap ia akan memberi inspirasi kepada komunitinya untuk mengejar pengiktirafan bertaraf global.
“Saya amat bangga dengan pencapaian Dr Sivakumar. Beliau tokoh akademik yang disegani dan pakar bedah terkenal yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara.
“Kejayaan beliau mencerminkan kecemerlangan UM dan memberi inspirasi kepada komuniti kami untuk terus berusaha meraih pengiktirafan antarabangsa,” menurutnya dalam kenyataan sama.
Beliau juga berkata, UM kekal komited untuk melahirkan profesional bertaraf dunia serta menyokong kepimpinan akademik yang memberi impak sebenar pada peringkat nasional dan antarabangsa.