Penyeludupan berlaku hampir setiap hari di sempadan Kalimantan, kata Ahli Parlimen

Penyeludupan berlaku hampir setiap hari di sempadan Kalimantan, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Mordi Bimol dari DAP mendakwa penyeludup guna lori dan treler membawa minyak masak, rokok serta buah-buahan melalui jalan tikus.

sempadan sarawak sematan jalan tikus
Mordi Bimol menggesa penyelarasan lebih baik antara kerajaan persekutuan dan negeri bagi menyelesaikan isu penyeludupan di sempadan Sarawak-Kalimantan. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Penyeludupan barangan subsidi Malaysia dari Sarawak ke Kalimantan dan produk murah Indonesia bagi laluan sebaliknya didakwa berlaku hampir setiap hari, kata seorang Ahli Parlimen DAP.

Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol mendakwa penyeludup mengambil kesempatan ‘lorong tikus di hutan terpencil untuk menyeludup barangan subsidi seperti beras dan minyak masak ke Indonesia.

Katanya, pada masa sama barangan seperti rokok, buah-buahan dan sayur-sayuran diseludup masuk ke Sarawak dari Kalimantan.

Menurut Mordi, kegiatan itu berleluasa di kawasan luar bandar termasuk Mas Gading dengan beberapa lorong cukup luas untuk dilalui kenderaan berat.

“Di Mas Gading, ia berlaku hampir setiap hari. Penduduk kampung melaporkan ada ‘lorong tikus’ untuk kenderaan pacuan empat roda, malah ada ‘lorong gajah’ untuk lori besar dan treler.

“Penduduk mengadu setiap hari. Mereka kongsi maklumat dengan pihak berkuasa, tetapi dakwa mereka aduan itu tidak dipandang serius,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Sarawak berkongsi sempadan sepanjang 1,032km dengan wilayah Indonesia.

Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata 71 lorong haram dan laluan penyeludupan telah dikenal pasti di sepanjang sempadan terbabit.

Katanya, kerajaan meluluskan RM28 juta bagi membina tujuh lagi pos kawalan keselamatan termasuk di kawasan panas di Lubok Antu dan Ba’kelalan, manakala 390 pegawai polis tambahan akan ditempatkan untuk mengawal sempadan.

Mordi berkata beliau kerap membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat dan percaya penyelarasan lebih baik antara kerajaan persekutuan dan negeri adalah kunci penyelesaiannya.

Beliau mengakui wujud kompleks imigresen dan sekatan jalan raya di beberapa lokasi, tetapi mendakwa penguatkuasaan masih lemah secara keseluruhan.

Ahli Parlimen dua penggal itu menambah ada penduduk kampung membantu untuk merakam aktiviti penyeludup setiap hari.

“Mereka yang tinggal berhampiran laluan ini melihat penyeludupan hampir setiap hari. Mereka kata ada sekatan jalan raya, tetapi treler boleh lepas dengan pemeriksaan minimum.

“Saya terima maklum balas daripada kumpulan pemantau bahawa kadangkala daripada 10 treler, hanya satu sahaja yang diperiksa.”

Penyeludupan jejaskan pendapatan petani tempatan (sub head)

Selain kebocoran barangan subsidi, Mordi berkata kemasukan hasil pertanian dari Indonesia turut menjejaskan pendapatan petani dan peniaga kecil di Sarawak.

“Petani kita tak mampu bersaing. Sayur-sayuran dan buah-buahan dari Kalimantan jauh lebih murah, ini menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.

Katanya, rasa kecewa semakin memuncak dalam kalangan penduduk, malah ada yang mengesyaki wujudnya rasuah sebagai punca kelemahan penguatkuasaan.

“Ada yang mula persoal, adakah wajar lagi mereka terus membuat aduan.”

Naib pengerusi DAP Sarawak itu turut mendakwa sebilangan penduduk sendiri terlibat dalam perniagaan penyeludupan, dengan menerima bayaran kerana membenarkan tanah mereka digunakan sebagai laluan lintasan haram.

Penduduk ini hanya dibayar untuk membenarkan penyeludup menggunakan tanah mereka merentas sempadan.

Mordi percaya tindakan tegas perlu diambil bagi mengekang masalah ini dan menggesa penyelarasan antara semua agensi penguatkuasaan memandangkan bidang kuasa mereka bertindih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.