Penganalisis jangka saingan sengit Sanusi-Dr Sam rebut slot profesional

Penganalisis jangka saingan sengit Sanusi-Dr Sam rebut slot profesional

Hisomuddin Bakar berkata Mohd Amar Abdullah dan Idris Ahmad dijangka kekal isi slot ulama bagi jawatan naib presiden PAS.

Ahmad Samsuri Mokhtar dengan Sanusi Nor 23825
Pertembungan Ahmad Samsuri Mokhtar dengan Sanusi Nor jika ada pada pemilihan PAS boleh dianggap pertandingan mesra, menurut penganalisis, Hisomuddin Bakar.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis meramalkan persaingan sengit untuk slot ketiga naib presiden PAS yang secara tradisinya ‘diperuntuk’ bagi kumpulan profesional jika Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menerima pencalonan.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata Sanusi dijangka bersaing dengan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, seorang daripada penyandang jawatan itu yang datang dari kumpulan aktivis atau profesional.

Menurutnya, berdasarkan pola tradisi PAS, dua daripada tiga jawatan naib presiden biasanya kekal milik tokoh ulama atau ‘ustaz’ yang ketika ini penyandangya terdiri Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah dan Ahli Parlimen Bagan Serai Idris Ahmad.

Hisomuddin Bakar
Hisomuddin Bakar.

“Ini bermakna kedudukan Idris dan Mohd Amar berkemungkinan besar kekal selamat. Persaingan sebenar tertumpu kepada slot ketiga dengan pilihan sama ada mengekalkan Samsuri atau memberi ruang kepada wajah baharu seperti Sanusi.

“Justeru, kemasukan Sanusi lebih berpotensi menggugat kedudukan Samsuri berbanding dua penyandang ulama,” katanya kepada FMT.

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PAS Wan Rohimi Wan Daud mengesahkan Sanusi antara empat pemimpin PAS layak bertanding naib presiden pada pemilihan September depan, selepas menerima pencalonan mencukupi.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS pernah menolak pencalonan jawatan sama pada pemilihan terdahulu.

Bulan lalu, beliau menyatakan belum bersedia menyandang jawatan naib presiden PAS walaupun menerima sokongan terbuka pimpinan tertinggi parti itu.

Hisomuddin berkata di sebalik kelebihan ada pada Sanusi tetapi kemungkinan untuk beliau menolak pencalonan tetap ada dengan pertimbangan seperti keseimbangan antara kepimpinan ulama serta profesional.

“Perlu dilihat juga bahawa Sanusi dan Samsuri sering dianggap berada dalam kem sama, jika bertanding ia mungkin sekadar ‘friendly match’ untuk menguji kekuatan pengaruh masing-masing.

“Dalam konteks ini, peluang untuk salah seorang menarik diri tetap terbuka sekiranya ada isyarat dalaman untuk menjaga keharmonian parti,” katanya.

Mazlan Ali.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berpandangan Sanusi tidak lagi boleh mengelak bertanding jawatan penting itu berdasarkan rekod menang dua pilihan raya di Kedah walaupun diserang hebat.

“Pada saya beliau tetap popular dan sudah sampai masa beliau bertanding naib presiden kerana pada saya Sanusi seorang calon ‘heavyweight’.

“Semua calon popular tetapi kali ini saya ramal Sanusi dan Dr Sam berpotensi menang, manakala Mohd Amar bersaing dengan Idris untuk dapat slot ketiga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.