Kerajaan kukuh, berani serah kuasa kepada Parlimen, kata PM

Kerajaan kukuh, berani serah kuasa kepada Parlimen, kata PM

Anwar Ibrahim berkata kerajaan merancang mahu serah lebih banyak kuasa kepada Parlimen.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata pembentangan RUU Perolehan Kerajaan yang sedang dibahas di Dewan Rakyat bukti komitmen kerajaan terhadap ketelusan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hanya kerajaan kukuh dan berani sahaja sanggup menyerahkan kuasa kepada Parlimen.

Katanya, kerajaan Madani komited terhadap prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban melalui penyerahan kuasa lebih banyak kepada Parlimen.

Beliau berkata, langkah itu termasuk pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang memerlukan menteri kewangan mengemukakan unjuran pertumbuhan serta pelan menurunkan kadar hutang negara untuk kelulusan Parlimen.

“Kerajaan mana yang sanggup menyerahkan kuasanya kepada Parlimen? Antaranya RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

“Maknanya kalau menteri kewangan umum dasar, Parlimen luluskan, kemudian tidak dapat dilaksanakan, menteri kewangan akan bentang semula supaya dasar kerajaan itu (dilaksanakan) penuh tanggungjawab,” katanya menurut Bernama.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Madani Rakyat (PMR) Negeri Sembilan di Dataran Nilai. Turut hadir, Menteri Besar Aminuddin Harun, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Pertahanan Khaled Nordin, dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Program bertemakan ‘Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti’ itu diterajui Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi serta kerajaan Negeri Sembilan selaku tuan rumah.

Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 diperkenalkan kerajaan bertujuan mengadakan peruntukan bagi tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus, dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal, telah dikuatkuasakan pada 1 Jan 2024 setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 2023.

Selain itu, perdana menteri turut menekankan mengenai pembentangan RUU Perolehan Kerajaan yang sedang dibahas di Dewan Rakyat sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap ketelusan.

“Kerajaan dahulu tidak berani buat. Semua perolehan kerajaan, persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan mesti ikut tatacara yang jelas, ikut tender melainkan soal keselamatan, kalau betul hendak beli radar untuk keselamatan mesti ada kerahsiaan, itu kita kecualikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.