Tunggu saman, Akmal beritahu Lokman berkait tuduhan ‘ejen H2O’

Tunggu saman, Akmal beritahu Lokman berkait tuduhan ‘ejen H2O’

Ketua Pemuda Umno mahu saman Lokman Noor Adam kerana tuduhan ada agenda tersembunyi untuk angkat Hishammuddin Hussein sebagai perdana menteri.

Lokman, Akmal, Hishammuddin
Lokman Noor Adam menuduh Dr Akmal Saleh ‘ejen’ kepada Hishammuddin Hussein.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh memberi amaran akan menyaman Ahli Majlis Kerja Tertinggi Lokman Noor Adam kerana menuduhnya mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Hishammuddin Hussein sebagai perdana menteri.

“Tunggu saman dari saya,” kata Adun Melaka itu ketika dihubungi.

Dalam video tular berdurasi lebih seminit menerusi wawancara bersama platform NRChannel TV, Lokman secara terbuka menggelar Akmal sebagai ‘Ketua Pemuda H2O’.

H2O adalah gelaran kepada Hishammuddin, bekas naib presiden Umno yang kini digantung.

Lokman juga mendakwa, selain menjadi ‘orang H2O’, Akmal dikatakan menjadi ejen pemecah hubungan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Sebab itu dia (Akmal) tak pernah berhenti menghentam kerajaan dan sebagainya kerana itulah matlamat H2O. H2O memang nak bawa Umno ini kepada Perikatan Nasional dan dia membantu menjayakan agenda H2O,” dakwa Lokman.

Susulan itu, Pemuda Umno Kapar menghantar surat rasmi kepada Lembaga Disiplin bagi mendesak tindakan diambil terhadap Lokman atas dakwaan melanggar disiplin dan etika parti.

Surat aduan itu turut mendakwa kenyataan Lokman mencetuskan polemik dalaman yang merugikan parti, khususnya ketika Umno sedang bersiap menghadapi PRU16.

Ketua Pemuda Umno Kapar, Mohd Affifi Mohd Aris, berkata tuduhan berat itu bukan sahaja fitnah, malah berniat memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan kepimpinan Umno.

Beliau menyeru ahli turut sama menghantar laporan rasmi kepada ibu pejabat Umno selain menggesa Lokman disingkirkan daripada parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.