Polis tiada petunjuk di mana Pamela, anak perempuan Indira

Polis tiada petunjuk di mana Pamela, anak perempuan Indira

Khalid Ismail berkata lebih banyak masa diperlukan untuk menyiasat penculikan dan lokasi Pamela Ling.

Pamela Ling didakwa diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April, manakala M Indira Gandhi masih menunggu untuk disatukan dengan anak perempuannya, dipercayai bersama bekas suaminya.
KUALA LUMPUR:
Polis tidak mempunyai sebarang petunjuk di mana Pamela Ling dan anak perempuan M Indira Gandhi berada, kata Ketua Polis Negara, Khalid Ismail.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan lebih masa untuk siasatan lanjut ke atas dakwaan penculikan Ling pada April lalu untuk menentukan di mana wanita itu berada.

“Saya masih tunggu hasil siasatan lanjut mengenai lokasinya. Saya percaya dalam kes ini, kita perlu lebih masa untuk menentukan lokasinya,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Ling, 42, dilaporkan hilang 9 April lalu ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya untuk memberi keterangan sebagai saksi dalam siasatan.

SPRM melancarkan siasatan ke atas Ling dan suaminya yang juga ahli perniagaan Sarawak, Thomas Hah pada Mei 2024 atas dakwaan rasuah serta pengubahan wang haram.

Sebelum ini, polis dilaporkan berkata, lima kenderaan dan “kira-kira lapan suspek” terbabit dakwaan penculikan itu. Tiga daripada kenderaan itu mengklonkan nombor pendaftaran.

Tak dapat kesan anak perempuan, bekas suami Indira

Dalam kes Indira, Khalid berkata, polis tidak dapat mengesan bekas suaminya, K Pathmanathan yang memeluk Islam dan menukar nama kepada Riduan Abdullah serta anak perempuan mereka, Prasana Diksa yang dipercayai bersamanya.

Riduan melarikan diri bersama Prasana pada 2009 yang baru berusia 11 bulan ketika itu. Dia kemudian menukar agama anak perempuannya kepada Islam tanpa persetujuan Indira.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan penting pada 2018 yang memihak kepada Indira, dengan mengisytiharkan penukaran agama Islam secara sepihak oleh Riduan terbatal dan tidak sah. Tetapi, di sebalik keputusan mahkamah itu, polis masih tidak dapat mengesan di mana Prasana berada.

Mahkamah Persekutuan kemudian memerintahkan polis melaksanakan waran komital ke atas Riduan kerana menghina mahkamah atas keengganannya mengembalikan Prasana kepada Indira, yang diberi hak penjagaan penuh ke atas tiga anak mereka.

Indira memfailkan saman terhadap bekas KPN, Abdul Hamid Bador dan kerajaan atas kegagalan menahan Riduan serta mengembalikan anak perempuannya. Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya pada 11 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.