Polis siasat kematian 2 pelajar bawah seksyen kesalahan buli

Polis siasat kematian 2 pelajar bawah seksyen kesalahan buli

Polis mahu lihat sama ada kematian berkait dengan kesalahan buli di dalam dan luar talian.

fadil marsus
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, mengumumkan siasatan ke atas kematian dua pelajar bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat kematian seorang perempuan dan lelaki di Taman Melati, Kuala Lumpur bawah peruntukan baharu yang menjadikan buli sebagai kesalahan jenayah, iaitu Seksyen 507B.

“Kita nak lihat kesalahan buli di dalam dan luar talian sama ada ia berkait dengan kematian,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, kepada pemberita.

Katanya, polis akan melengkapkan siasatan secepat mungkin, “termasuk mendapatkan semua apa-apa ‘evidence’ daripada permulaan sehingga selesai.”

Dalam kenyataan berasingan, Fadil memaklumkan polis menerima dua maklumat berhubung kejadian terjatuh dari sebuah bangunan kediaman di Taman Melati, melibatkan seorang perempuan berusia 22 tahun pada pagi Rabu lalu; dan seorang lelaki berusia 21 tahun pada malam hari yang sama.

Hasil bedah siasat bagi kedua-dua kes menunjukkan “multiple injuries due to fall from height”.

Pemeriksaan di tempat kejadian dapati kematian tidak melibatkan sebarang unsur-unsur jenayah di lokasi kejadian, dan kes dikelaskan sebagai mati mengejut (SDR).

Polis mengesahkan mereka pelajar sebuah institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, Fadil memaklumkan bahawa ibu kepada perempuan berkenaan membuat laporan polis, mendakwa anaknya menjadi mangsa buli di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Menurut Berita Harian, seorang pelajar wanita berusia 22 tahun ditemui meninggal dunia pada 6.45 pagi di lorong belakang; dipercayai jatuh dari tingkat 22. Pada 8.30 malam, seorang lagi pelajar lelaki berusia 21 tahun dari universiti itu ditemui meninggal dunia di bangunan tersebut.

Jika anda atau orang tersayang memerlukan bantuan, Befrienders Kuala Lumpur boleh dihubungi sepanjang masa di 03-7627 2929, atau hubungi pusat Befrienders lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.