
Dalam surat bertarikh hari ini dihantar kepada setiausaha agung Umno, Pemuda Kapar mendakwa Lokman membuat tuduhan liar terhadap Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh, termasuk menuduhnya membawa agenda untuk menaikkan Hishammuddin Hussein (H2O) sebagai perdana menteri.
“Dalam video yang tular, beliau secara terbuka menggelar YB Akmal sebagai ‘Ketua Pemuda H2O’ dan menuduh beliau mempunyai agenda tersembunyi menaikkan H2O sebagai PM,” kata Ketua Pemuda Umno Kapar, Mohd Affifi Mohd Aris di Facebook.
“Tuduhan berat ini bukan sahaja fitnah, malah berniat memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan kepimpinan Umno.”
Surat aduan itu turut mendakwa kenyataan Lokman mencetuskan polemik dalaman yang merugikan parti, khususnya ketika Umno sedang bersiap menghadapi PRU16.
Menyifatkan tuduhan liar itu sebagai tidak beretika dan ‘biadab’, Affifi berkata ia boleh menyebabkan defisit kepercayaan dalam kalangan ahli serta akar umbi terhadap kepimpinan tertinggi parti.
“Sehubungan itu, Pemuda Umno Kapar dengan penuh ketegasan mendesak aduan ini dibawa kepada Lembaga Disiplin dan mengambil tindakan tegas serta sewajarnya terhadap Lokman di bawah Fasal 20.10 Perlembagaan Umno,” katanya.
“Tindakan disiplin yang keras wajar dikenakan agar menjadi pengajaran kepada mana-mana ahli yang bertindak sesuka hati, melanggar tataetika parti serta merosakkan imej Umno di mata rakyat.”
Beliau menyeru ahli parti untuk turut sama menghantar laporan rasmi kepada ibu pejabat Umno, selain menggesa agar Lokman disingkirkan daripada parti.
“Kalau jenis manusia macam ini kita nak simpan, ianya bukan menguntungkan parti bahkan defisit akan terus berlaku,” tegas Affifi.
Dalam video tular berdurasi lebih seminit menerusi wawancara bersama platform NRChannel TV, Lokman mendakwa selain menjadi ‘orang’ H2O, Akmal dikatakan menjadi ejen pemecah hubungan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
“Sebab itu dia (Akmal) tak pernah berhenti menghentam kerajaan dan sebagainya kerana itulah matlamat H2O. H2O memang nak bawa Umno ini kepada Perikatan Nasional dan dia membantu menjayakan agenda H2O,” dakwa Lokman.