Anwar terima deklarasi Majlis Cendekiawan Malindo Madani

Anwar terima deklarasi Majlis Cendekiawan Malindo Madani

Malindo Madani adalah inisiatif menghimpunkan sarjana, pemimpin pertubuhan Islam, pembuat dasar dan tokoh masyarakat dari Malaysia-Indonesia serta negara serantau.

Anwar Ibrahim menerima Deklarasi Majlis Cendekiawan Malindo Madani daripada Pengerusi Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Tamadun Indonesia M Din Syamsuddin di Masjid Putra, Putrajaya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima Deklarasi Majlis Cendekiawan Madani Malaysia-Indonesia (Malindo Madani) yang disifatkan sebagai rangkuman terbaik hasil sarjana kedua-dua negara.

Deklarasi mengandungi lima perkara utama itu diserahkan Pengerusi Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Tamadun Indonesia M Din Syamsuddin dalam majlis di Masjid Putra, di sini.

Antara perkara diketengahkan dalam deklarasi tersebut ialah potensi peradaban Melayu-Islam untuk terus dikembangkan, keutamaan keseimbangan alam sekitar berbanding eksploitasi, serta pemulihan keseimbangan psikologi individu dan masyarakat.

Malindo Madani adalah inisiatif strategik yang menghimpunkan sarjana, pemimpin pertubuhan Islam, pembuat dasar, dan tokoh masyarakat dari Malaysia-Indonesia serta negara serantau bagi membincangkan agenda peradaban berteraskan nilai Malaysia Madani.

Pelaksanaan Malindo Madani turut menjadi wadah memperkukuh persefahaman rentas budaya dan agama, memartabatkan nilai keilmuan, serta mengangkat peranan Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam di peringkat nusantara dan global.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat, bacaan Qunut Nazilah serta solat hajat di Masjid Putra bersama lebih 4,000 jemaah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Gaza.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, Timbalan Menterinya Dr Zulkifli Hasan, serta Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Mohamed Azam Mohamed Adil.

Khutbah bertajuk ‘Bangkit Membela Teguh Bersaudara’ disampaikan Imam Besar Masjid Putra Muhammad Zakuwa bin Rodzali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.